Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemberhentian kerja naik pada suku ketiga, didorong firma teknologi

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Dec 2022 01:44PM Dikemas Kini : 15 Dec 2022 10:23PM
SINGAPURA: Pasaran buruh di Singapura terus bertambah baik pada suku ketiga tahun ini.

Namun begitu dalam laporan terbarunya pada Khamis (15 Dis), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberi amaran tentang tanda-tanda awal bahawa rentak pemulihan semakin perlahan.

Pemberhentian kerja juga meningkat sedikit daripada suku sebelumnya, dengan firma teknologi membuang lebih ramai pekerja.

Jumlah pekerjaan terus berkembang sebanyak 75,900 pada suku ketiga, berbanding 66,500 pada suku sebelumnya. Ia kini 1.7 peratus mengatasi paras 2019.

Jumlah pekerja bukan penduduk meningkat sebanyak 71,100, manakala pekerjaan penduduk naik sebanyak 4,800.

MOM menyatakan pekerjaan bukan penduduk meningkat lebih cepat kerana ia masih belum pulih ke tahap sebelum COVID.
Pekerjaan penduduk mengatasi paras 2019 sebanyak 4.4 peratus.

Jumlah kerja kosong pula merosot pada September kepada 108,200, tetapi ia kekal tinggi.

MOM menyatakan walaupun pasaran buruh terus mengalami peningkatan dan permintaan buruh kekal tinggi, terdapat risiko ia merosot pada masa hadapan.

Dalam catatan Facebook, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata keadaan geopolitik yang tidak menentu dan inflasi global yang lebih tinggi akan menjejaskan pasaran buruh pada masa hadapan.

"Saya menggalakkan majikan dan pekerja menggunakan sepenuhnya program-program Pemerintah untuk merancakkan rentak transformasi agar kekal berdaya saing dan berdaya tahan sedang kita mengharapkan prospek pasaran buruh yang positif, berterusan pada tahun baru akan datang," katanya.


Terdapat 1,120 pemberhentian kerja, naik daripada rekod terendah 830 pada suku sebelumnya. Peningkatan ini kebanyakannya datang daripada firma teknologi, yang memberhentikan 460 orang, naik daripada 110 pada suku kedua.

Bagaimanapun, jumlah jawatan kosong dalam sektor itu kekal tinggi, menunjukkan bahawa pemberhentian tersebut adalah akibat usaha penyusunan semula dalam sektor itu, menurut MOM.

Peratusan penduduk yang diberhentikan dan mendapat pekerjaan baru dalam tempoh enam bulan setanding dengan angka sebelum COVID.

MOM menyatakan jumlah pekerja diberhentikan sementara atau diletakkan kerja minggu lebih singkat meningkat kepada 920 daripada 600 pada suku sebelumnya, tetapi kekal rendah berbanding paras sebelum pandemik.

Secara kesleuruhan, kadar pengangguran kekal di bawah paras sebelum pandemik pada 2 peratus. Pengangguran untuk penduduk berada pada paras 2.8 peratus dengan kadar pengangguran untuk warga Singapura ialah 3 peratus.

Kadar pengangguran purata sebelum COVID pada 2018/2019 ialah 2.2 peratus secara keseluruhannya.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan