Pemberhentian kerja ExxonMobil di SG cerminkan cabaran industri lebih meluas: Penganalisis
Keputusan ExxonMobil untuk mengurangkan sehingga 500 pekerjaan di Singapura mencerminkan cabaran industri yang lebih meluas akibat kemerosotan permintaan dan bekalan yang meningkat, menurut para penganalisis.
Loji penapisan kimia di Singapura. (Gambar: AFP)
Syarikat gergasi tenaga dari Amerika Syarikat itu pada Rabu (1 Okt) menyatakan ia merancang untuk mengurangkan 10 hingga 15 peratus tenaga kerjanya di Singapura menjelang akhir 2027, sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai cara untuk meningkatkan daya saing dalam “landskap yang sentiasa berubah-ubah” dan untuk “mempersiap perniagaan bagi kejayaan pada masa depan.”
Pengumuman itu menyusuli rancangan penyusunan semula global yang didedahkan sehari sebelumnya, yang akan menyaksikan syarikat itu memberhentikan 2,000 pekerja di seluruh dunia, atau tiga hingga empat peratus tenaga kerja keseluruhannya.
Para penganalisis memaklumkan bahawa pemotongan ExxonMobil itu mencerminkan cabaran yang lebih luas di seluruh sektor.
“Ia adalah kisah permintaan dan bekalan yang menjejaskan syarikat minyak dan gas antarabangsa,” kata perunding tenaga Tilak Doshi.
“Harga minyak mentah jatuh, margin jatuh, hasil juga jatuh … Jadi bagaimana mereka bertindak balas? Dengan mengurangkan.”
Syarikat minyak utama lain dari Amerika Syarikat, termasuk Chevron dan ConocoPhillips, turut mengumumkan pemotongan pekerjaan tahun ini, setelah harga minyak mentah Brent merosot sekitar 12 peratus, didorong peningkatan bekalan OPEC+.
Sektor itu juga berdepan permintaan yang lemah dan lebihan kapasiti, khususnya dengan pertumbuhan kilang petrokimia di China, kata mantan felo pelawat kanan di Institut Pengajian Tenaga, Leow Foon-Lee.
Singapura tidak terkecuali daripada cabaran tersebut, memandangkan peranannya sebagai hab penapisan serantau, kata beliau.
Selain permintaan dan bekalan minyak, syarikat juga berdepan ketidakpastian akibat tarif perdagangan dan tekanan untuk menyusun semula operasi sementara kecerdasan buatan (AI) mengubah cara mereka beroperasi, kata Encik Leow yang juga merupakan profesor adjung di sekolah perniagaan Universiti Teknologi Nanyang.
PERALIHAN KEPADA TENAGA HIJAU
Selain ExxonMobil, syarikat minyak lain di Singapura juga sudah mengurangkan operasi mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Mei tahun lalu, Shell menjual loji penapisan Bukom di Singapura – salah satu pusat penapisan dan perdagangan minyak terbesar di dunia – kepada syarikat Indonesia PT Chandra Asri dan syarikat berpangkalan di Switzerland, Glencore, setelah mengumumkan rancangan untuk memotong 500 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun.
Perubahan struktur dalam industri didorong oleh peralihan global ke arah tenaga lebih bersih, automasi dan peraturan yang lebih ketat, kata Dr Roger Fouquet, zamil penyelidik utama di Institut Pengajian Tenaga di Universiti Nasional Singapura.
Singapura, seperti negara lain di dunia, bergerak ke arah penggunaan tenaga lebih bersih dengan matlamat untuk mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.
Singapura merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan cukai karbon pada 2019. Perniagaan yang mengeluarkan lebih daripada 25,000 tan metrik gas rumah hijau setahun perlu membayar S$5 bagi setiap tan karbon dioksida yang dihasilkan.
Cukai itu dinaikkan kepada S$25 bagi setiap tan pelepasan pada 2024, dan akhirnya akan dinaikkan kepada S$50 hingga S$80 menjelang 2030.
Namun, para penganalisis menekankan bahawa pemberhentian kerja semasa lebih berkaitan dengan faktor permintaan dan bekalan berbanding dasar karbon.
PERANAN SINGAPURA YANG SEDANG BERUBAH
Walaupun industri berdepan ketidaktentuan, para penganalisis mengatakan bahawa peranan Singapura sebagai hab petrokimia tidak berkurangan, tetapi sedang berkembang.
“Rasionalisasi ini membuka jalan ke arah pasaran dan persekitaran yang lebih berdaya tahan … dan berorientasikan masa depan,” kata Timo Tumuscheit, naib presiden pembangunan perniagaan kimia di Argus.
Beliau berkata Singapura sedang “bergerak naik dalam rantaian nilai” dengan memberi tumpuan kepada bahan kimia khusus, yang bernilai lebih tinggi, dihasilkan dalam kuantiti lebih kecil dan disesuaikan untuk fungsi-fungsi tertentu.
Momentum juga semakin meningkat dalam bidang biokimia, penangkapan karbon dan bahan api rendah karbon, yang mencerminkan peralihan rantau ini ke arah sistem tenaga yang lebih mampan.
Walaupun kini Singapura merupakan hab bagi gas asli cecair dan bahan api bunker, campuran bahan api pada masa depan akan berubah kepada bahan api yang lebih bersih, kata Encik Leow.
“Jadi peranan kita tidak berubah. Hanya campuran bahan api yang berubah,” tambahnya.
Encik Tumuscheit bersetuju: “Singapura, sebagai hab petrokimia, akan sentiasa kekal sebagai pemain utama dan hab penting di rantau ini dan juga di peringkat global.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.