Skip to main content

Singapura

Pemberhentian kerja di SG naik buat tiga suku berturut-turut, pengangguran kekal rendah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Apr 2023 01:57PM Dikemas Kini : 29 Apr 2023 12:45AM

SINGAPURA: Pemberhentian kerja di Singapura meningkat buat tiga suku berturut-turut meskipun kadar pengangguran kekal rendah di tengah-tengah permintaan bagi pengambilan pekerja yang kukuh.

Menurut perangkaan awal yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (28 Apr) jumlah pemberhentian kerja terus meningkat, mencecah 4,000 pada suku pertama 2023 dan naik daripada 1,300 serta 2,900 pada dua suku sebelumnya.

Jumlah itu sama dengan tahap yang dicatatkan pada 2016 dan 2017 apabila jumlah purata pemberhentian kerja adalah sebanyak 4,240.

Sebab utama pemberhentian kerja dalam suku pertama ialah perniagaan melakukan penyusunan semula selain daripada kelembadan dalam perusahaan, kata MOM.

"Walau bagaimanapun, sentimen pengambilan pekerja kekal cerah, dengan sebilangan besar syarikat ditinjau (65 peratus) menyatakan hasrat untuk menambah bilangan pekerja dalam tiga bulan akan datang," tambah MOM.

"Lebih banyak syarikat juga menyatakan hasrat untuk menaikkan gaji pekerja mereka."

Di sebalik jumlah pemberhentian kerja yang meningkat, kadar pengangguran secara keseluruhannya kekal rendah pada Mac 2023 sebanyak 1.8 peratus. Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk ialah 2.5 peratus manakala bagi rakyat, 2.7 peratus.

Terdapat 61,500 penduduk yang menganggur pada Mac 2023, yang mana 54,900 adalah warga tempatan.

PASARAN BURUH TERUS BERDAYA TAHAN

Anggaran awal juga menunjukkan pasaran buruh terus berkembang pada suku pertama 2023 meskipun pada rentak lebih perlahan berbanding suku sebelumnya, kata MOM.

Jumlah pekerjaan tidak termasuk pembantu rumah hijrahan naik sebanyak 34,500 semasa tempoh Oktober hingga Disember tahun lalu, iaitu pertumbuhan enam suku berturut-turut sehingga Mac.

"Setakat Mac 2023, pertumbuhan dalam kalangan penduduk terus mengatasi paras sebelum pandemik manakala bagi bukan penduduk, ia meningkat melebihi paras sebelum pandemik buat pertama kalinya," tambah MOM. 

Kebanyakan daripada pertumbuhan itu disumbang oleh pengambilan pekerja bukan penduduk, khususnya dalam perusahaan binaan.

Bagi penduduk pula, pengambilan pekerja dicatatkan dalam sektor pentadbiran awam dan pendidikan serta khidmat kewangan.

Sektor seperti pengilangan, perhubungan dan penerangan serta khidmat makanan dan minuman tidak banyak berubah manakala sektor dagangan borong dan runcit, merosot sedikit.

MOM menyatakan ekonomi dunia yang lebih lemah menambah tekanan terhadap permintaan terutama sekali bagi sektor-sektor yang berorientasikan luar.

Tambahnya, kadar pertumbuhan pekerjaan kemungkinan besar reda dan tidak seimbang bagi semua sektor. 

"Kami galak majikan supaya melabur dalam transformasi perniagaan supaya dapat memastikan perniagaan mereka terus berdaya saing dan pekerja mereka produktif."

Laporan pasaran buruh bagi suku pertama 2023 akan dikeluarkan pada pertengahan Jun.

Sumber : CNA/HA/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita