Skip to main content

Singapura

Pembentukan panel disiplin Parti Pekerja cerminkan kewibawaan parti, demi kepentingan umum, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Pembentukan panel disiplin Parti Pekerja cerminkan kewibawaan parti, demi kepentingan umum, kata penganalisis
Ketua Pembangkang, Pritam Singh, berjalan dari Mahkamah Agung menuju ke Bangunan Parlimen pada 4 November 2025. (Gambar fail: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Pekerja (WP) untuk membentuk sebuah Panel Disiplin berikutan sabitan mahkamah terhadap ketua parti itu dianggap sebagai satu langkah penting bagi mencerminkan kewibawaannya.

Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada ketua parti Pritam Singh melanggar perlembagaan WP, menyusuli sabitan mahkamahnya baru-baru ini kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Menurut pandangan Penganalisis Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Solaris Strategies SG, Dr Mustafa Izzuddin, langkah itu juga penting untuk menunjukkannya sebagai sebuah parti politik yang serius.

"Saya rasa keputusan yang telah diambil oleh Parti Pekerja tepat dan bijaksana untuk mengadakan Jawatankuasa Disiplin dalaman dan selepas itu menganjurkan persidangan Kader Khas," jelas Dr Mustafa.

"Amat penting kerana ia menunjukkan Parti pekerja adalah satu parti yang serius dan berwibawa dan boleh dipercayai oleh rakyat Singapura untuk terus menjadi suara alternatif di Parlimen. Berbuat demikian diperlukan untuk Parti Pekerja bukan sahaja untuk kepentingan parti tapi juga untuk kepentingan umum," tambahnya lagi.

Dr Mustafa juga berpandangan bahawa keputusan panel disiplin itu nanti tidak akan begitu menjejas persepsi rakyat Singapura dan pucuk pimpinan Parti Pekerja .

"Saya tidak rasa keputusan yang akan dicadangkan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti Pekerja akan mempengaruhi persepsi rakyat Singapura tentang Parti Pekerja untuk teruskan perjuangan mereka sebagai parti pembangkang, parti politik pembangkang di Parlimen," kata Dr Mustafa.

"Saya rasa pimpinan Parti Pekerja sekarang akan kekal dan kerana mereka telah mewakili rakyat Singapura dengan baik dalam Parlimen dan dalam pilihan raya yang baru lepas. Mereka telah mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen Parti Pekerja. Jadi, saya rasa kepimpinan harus memberi tumpuan kepada peranan mereka dalam Parlimen untuk menjadi suara rakyat Singapura," katanya lagi.

Melihat apa yang terjadi, Dr Mustafa juga tidak menyifatkannya sebagai satu krisis dalam parti.

"Saya rasa apa yang sedang berlaku sekarang adalah kemerosotan Parti Pekerja tapi bukan krisis dan kerana itu saya rasa pada penghujungnya, Parti Pekerja akan kekal, menjadi kukuh dan akan meneruskan perjuangan mereka sebagai parti politik pembangkang yang utama di Parlimen," kata Dr Mustafa.

CEC WP juga telah menetapkan tempoh waktu tiga bulan untuk proses disiplin itu dijalankan.

Ini untuk mengelak kelengahan dan dalam masa dua minggu setelah proses itu tamat, notis bagi Persidangan Ahli Kader akan dikeluarkan.

CEC merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal parti serta mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap ahlinya.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita