Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembelian di Qoo10 terhenti akibat arahan MAS gantung khidmat bayaran

Anggaran Waktu Membaca:
Pembelian di Qoo10 terhenti akibat arahan MAS gantung  khidmat bayaran

Gambar: Qoo10 Singapore/LinkedIn

SINGAPURA: Platform e-dagang Qoo10 diarahkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk menggantung penyediaan semua khidmat pembayaran di Singapura mulai Isnin (23 Sep).

Ini di tengah-tengah laporan mengenai kelewatan melunaskan bayaran kepada vendor.

Sungguhpun ia tidak dilarang daripada mengendalikan platform e-dagangnya, para pengguna buat masa ini tidak dapat membuat pembelian di platform tersebut.
"Qoo10 mungkin perlu melibatkan penyedia khidmat pembayaran pihak ketiga bagi transaksi di platform ini," jelas MAS.

Antara April hingga Ogos, MAS dan agensi pemerintah lain menerima beberapa aduan pelanggan terhadap Qoo10 kerana kelewatan memproses pembayaran kepada pelanggan, yang merupakan peniaga di platform Qoo10.

"Qoo10 telah diminta untuk menangani aduan ini, dan sekalipun ada isu yang sudahpun diselesaikan, yang lain masih belum dihuraikan," kata MAS dalam kenyataan media.

Pada awal September, Qoo10 memaklumkan MAS bahawa sebilangan besar peniaga akan menghadapi kelewatan pembayaran.

"MAS memberi peluang kepada Qoo10 untuk menangani kebimbangan ini dan mengkehendaki syarikat tersebut mengambil langkah untuk memuaskan hati MAS bahawa ia akan dapat memenuhi kewajipannya kepada para peniaga secara berterusan, termasuk melibatkan penyedia khidmat pembayaran pihak ketiga untuk menawarkan perkhidmatan tersebut," kata pihak berkuasa itu.

Namun sehingga kini, Qoo10 "tidak dapat memberikan jaminan yang mencukupi" bahawa ia mempunyai sumber dan sistem tersebut untuk memenuhi kewajipan pembayarannya kepada para peniaga tepat pada masanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mengarahkan platform itu supaya menggantung penyediaan khidmat pembayaran yang dilindungi di bawah Akta Perkhidmatan Pembayaran mulai Isnin.

"MAS terpaksa mempertimbangkan dengan teliti potensi gangguan yang boleh ditimbulkan disebabkan penggantungan ke atas platform e-dagang Qoo10 atau perkhidmatan lain yang disepadukan dengan khidmat pembayaran yang dilindungi," kata MAS.

"Walau bagaimanapun, membenarkan Qoo10 untuk terus menyediakan khidmat pembayaran dilindungi akan mendedahkan lebih ramai peniaga yang menggunakan perkhidmatan pembayaran dilindungi Qoo10 kepada risiko obligasi tertunggak yang lebih besar dan potensi kerugian.

"Qoo10 akan dibenarkan membuat pembayaran untuk memenuhi tuntutan tertunggak oleh peniaga tersebut, tetapi tidak boleh mengambil kewajipan pembayaran baharu."

Menjawab pertanyaan daripada Mediacorp, MAS menyatakan Qoo10 menawarkan khidmat pemerolehan pedagang, pengeluaran akaun, pemindahan wang domestik, pemindahan wang rentas sempadan dan penerbitan e-wang.

"Kelima-lima perkhidmatan itu digantung," jelas jurucakap penguasa itu.

Dalam satu kenyataan di lamannya pada Isnin, Qoo10 memaklumkan para pembeli bahawa laluan pembayarannya "tidak tersedia buat sementara waktu" dan ia sedang berusaha untuk melaksanakan "sistem pembayaran yang lebih diperhalusi dan boleh dipercayai".
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan