Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembeli SG pilih beli-belah online, seawal Mac jelang Hari Raya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kebanyakan pelanggan di Singapura memilih membeli-belah online bagi persiapan Hari Raya dan berkemungkinan mula melakukannya seawal Mac.

Demikian menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh syarikat kajian pengguna Asia Tenggara, Milieu Insight ke atas 300 responden di Singapura pada Januari 2023.

Tinjauan itu bertujuan untuk memahami kecenderungan beli-belah khususnya dalam kalangan pembeli Melayu di Singapura sedang mereka melakukan persiapan menjelang Ramadan dan Hari Raya tahun ini.

Ia meninjau tabiat dan pilihan pelanggan semasa membeli-belah serta keinginan perbelanjaan mereka semasa musim perayaan yang dinanti-nantikan itu.

Dapatan tinjauan tersebut mendapati lebih daripada separuh (67 peratus)pengguna warga Singapura akan sibuk membeli keperluan rumah dan hamper Hari Raya mulai bulan Mac.

Selain itu, 35 peratus daripada mereka juga merancang untuk mula membeli pakaian Hari Raya dalam bulan yang sama.

Sungguhpun demikian, sepertiga daripada mereka tidak merancang untuk membeli pakaian baru bagi sambutan Hari Raya kali ini.
Gambar: Milieu Insight

Dengan kewujudan pelbagai platform e-dagang, lebih 8 daripada 10 pengguna warga Singapura yang ditinjau akan membeli-belah secara online. Platform e-dagang Shopee muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan para pengguna untuk membeli sebilangan besar keperluan Hari Raya termasuk pakaian (38 peratus) serta kelengkapan rumah atau hamper (58 peratus).

Menariknya, tinjauan tersebut turut melakukan perbandingan antara kegiatan serta tabiat membeli-belah para pengguna di Singapura dengan negara-negara jiran di Malaysia dan Indonesia.

Membeli-belah melalui laman satu-satu jenama barangan atau peruncit/gedung serbaneka jauh lebih popular dalam kalangan para pengguna Singapura berbanding di Malaysia dan Indonesia.

Malah, laman jenama muncul sebagai wadah utama digunakan para pembeli Singapura bagi pakaian, iaitu 43 peratus.

Sebagai perbandingan, hanya 3 peratus pengguna Indonesia dan 20 peratus pembeli Malaysia yang melakukan demikian.

Dapatan tinjauan tersebut turut menunjukkan, 9 daripada 10 pengguna warga Singapura aktif mencari tawaran potongan harga ketika mereka membeli-belah sempena Hari Raya. Sementara itu, 25 peratus daripada mereka gemar untuk mencuba jenama baru manakala 38 peratus cenderung membeli daripada jenama yang biasa bagi mereka.


Para pengguna warga Singapura, berbanding dengan di Malaysia dan Indonesia, bersikap paling tidak kisah sama ada satu-satu barangan itu jenama tempatan atau luar negara. Sebanyak 31 peratus memilih jenama tempatan dan 11 peratus memilih jenama luar negara.

Manakala, 33% pengguna Malaysia dan 22% pengguna Indonesia dilihat peka serta mempunyai kecenderungan antara jenama tempatan dengan dari luar negara.

PEMBAYARAN PILIHAN KETIKA BELI-BELAH

Menurut tinjaun tersebut, pembayaran menerusi kad debit merupakan kaedah pembayaran pilihan sebilangan besar pembeli online ketika melakukan perbelanjaan bagi kelengkapan Hari Raya, terutama sekali mereka di Singapura.

Manakala, pembayaran menerusi e-dompet dan 'cash-on-delivery' atau tunai selepas penghantaran adalah antara kaedah pembayaran yang paling popular dalam kalangan pembeli di Malaysia dan Indonesia.


Singapura sebaliknya menyaksikan penggunaan yang lebih rendah bagi kaedah-kaedah pembayaran sedemikian.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan