Skip to main content

Singapura

Pembeli kereta serbu bilik pameran setelah COE bagi kereta besar merosot bawah S$100,000

Anggaran Waktu Membaca:
Pembeli kereta serbu bilik pameran setelah COE bagi kereta besar merosot bawah S$100,000

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 10 Oct 2022 12:19PM Dikemas Kini : 10 Oct 2022 12:32PM

SINGAPURA: Para pelanggan berpusu-pusu ke bilik-bilik pameran kereta baru pada Ahad (9 Okt), beberapa hari selepas harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta besar merosot lebih 11 peratus, turun ke bawah S$100,000 buat pertama kali dalam hampir lima bulan.

Di Leng Kee Road yang terkenal sebagai hab perniagaan kereta, sekitar 12 pembeli yang berminat berada di premis Mercedes-Benz apabila dikunjungi Mediacorp pada petang Ahad (9 Okt). 

Di bilik pameran Hyundai berdekatan Leng Kee Road, yang dikendalikan oleh perniagaan yang diluluskan Komoco Motors, pelanggan juga meninjau-ninjau kereta lebih kecil menyusuli kemerosotan COE sebanyak 4.2 peratus bagi Kategori A pada Rabu (5 Okt). 

Encik Simon Yap membuat keputusan untuk membeli kereta sedan Avante untuk menggantikan kereta lamanya Toyota Corolla Altis dengan COE yang akan tamat tempoh. Kedua-dua kereta tersebut adalah kereta Kategori A. 

Harga COE bagi kereta baru akan bernilai lebih rendah berbanding sekiranya COE bagi kereta Toyota itu diperbaharui, kata karyawan kewangan berusia 50 tahun itu, memandangkan pembaharuan sijil mengambil purata harga COE dalam tempoh tiga bulan yang lalu. 

"Harga sekerap kereta lama saya adalah lebih rendah daripada S$10,000," kata Encik Yap. 

Kemerosotan harga COE juga mendorong keluarga Encik Manmeeth Singh untuk mempertimbangkan membeli kereta sedan baru daripada kereta SUV lebih besar yang dimiliki mereka sekarang.

"Satu lagi pertimbangan adalah sama ada kami boleh mengekalkan pinjaman kereta kami yang dulu," kata guru berusia 38 tahun itu di sebuah bilik pameran sebelum berbincang dengan seorang pegawai. 

Keluarga beliau membayar 2.18 peratus setiap tahun bagi pinjaman kereta untuk sedan mereka dan berkata beliau diberikan kadar pinjaman 2.43 peratus oleh seorang lagi peniaga. 

Terdapat juga pembeli-pembeli lain, seperti Encik Ethen Fong, 39 tahun, yang bersama anak-anak kecilnya sedang melihat untuk membeli kereta lebih besar dengan tujuh tempat duduk daripada kereta yang dimilikinya sekarang, yang lebih kecil. 

"Ya, harga COE sedang merosot, tetapi kami juga ada keperluannya. Kami adalah keluarga dengan lima anggota dan kami sedang mencari kereta yang lebih besar untuk membawa ibu bapa kami," kata pengurus itu, yang bekerja dalam bidang perdagangan. 

Menurut rekod sejarah harga di portal penjualan kereta Sgcarmart, harga bagi kereta Hyundai baru jatuh S$3,000 bagi kereta kecil dan antara S$10,000 hingga S$12,000 bagi kereta lebih besar. 

Tiada rekod harga disediakan untuk kereta Mercedes-Benz, namun, harga bagi pesaingnya iaitu kereta mewah BMW merosot dengan ketara sejak awal September. 

Keadaan di bilik pameran pada Ahad (9 Okt) amat berbeza berbanding pada awal April apabila sebahagian besarnya lengang. 

Pada waktu itu, harga COE mencecah kemuncaknya pada S$98,389 bagi kereta besar dan S$72,996 bagi kereta kecil, sebelum merosot sedikit dan naik lagi kepada rekod S$113,000 bagi kereta besar dan S$86,000 bagi kereta kecil pada awal September. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita