Skip to main content

Singapura

Pembelajaran sepanjang hayat di awal kerjaya bantu kukuhkan hala tuju kerjaya

Anggaran Waktu Membaca:
Pembelajaran sepanjang hayat di awal kerjaya bantu kukuhkan hala tuju kerjaya
Keputusan untuk sambung pelajaran setelah mula bekerja, bantu Hidayah Alias, 29 tahun raih kemahiran baharu dan beralih ke sektor yang lebih pesat berkembang dan raih pendapatan lebih tinggi (Gambar: Hidayah Alias)
SINGAPURA: Meskipun baru melangkah ke alam pekerjaan, Hidayah Alias, 29 tahun sedar beliau perlu terus meraih ilmu dan kemahiran baharu untuk terus kekal relevan dalam ekonomi digital yang semakin pesat berkembang.

Walaupun sudah mendapat pekerjaan baik dalam bidang ekonomi dan perakaunan, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di Institut Vertical dan raih ilmu baharu untuk beralih kepada sektor yang berkembang iaitu bidang analisis data.

Ia adalah keputusan yang membuka ruang baharu untuk memperkasa diri dan menetapkan hala tuju kerjaya yang lebih kukuh.

Menurut Hidayah, minatnya terhadap angka dan penyelesaian masalah menjadi pendorong baginya untuk membuat peralihan tersebut.

"Saya memang tertarik dengan nombor dan penyelesaian masalah, tetapi lama kelamaan saya menyedari bahawa cara perniagaan membuat keputusan sudahpun berubah, ia kini menggunakan data.

"Apabila saya mula bekerja, saya sedar bahawa alat menganalisa data tradisional seperti Excel sangat terhad dan mempunyai keterbatasan. Meski latar belakang saya dalam bidang ekonomi dan perakaunan
memberi saya asas yang kukuh, saya memutuskan untuk meningkatkan kemahiran dan meneruskan analisis data untuk merapatkan jurang itu," kongsi Hidayah.

Beliau turut menyedari peningkatan permintaan bagi kerjaya dalam sektor analisis data di Singapura.

"Pekerjaan sebagai penganalisis data terus berada di kedudukan tinggi dan antara peranan yang paling mendapat permintaan di seluruh landskap profesional Singapura.

"Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyenaraikan pekerjaan yang tertumpu kepada data dalam kalangan pekerjaan yang menghadapi kekurangan tenaga kerja yang ketara menjelang 2025. Dengan itu, ia menekankan pentingnya kemahiran data dalam ekonomi digital yang semakin pesat," kata Hidayah.

Beliau kini bertugas sebagai Penganalisis Data di Pejabat Kementerian Kesihatan (MOH) bagi Transformasi Jagaan Kesihatan (MOHT).

Selepas peralihan kerjayanya, beliau mendapat kenaikan gaji sekitar 15 peratus.

Selain faktor gaji, keputusan Hidayah juga didorong oleh peluang perkembangan.

CABARAN YANG DIHADAPI SEMASA PERALIHAN KERJAYA

Beliau akur bahawa peralihannya ke bidang yang baharu bukanlah sesuatu yang mudah.

"Peralihannya tidak mudah. ​​Analisis data memerlukan pemikiran yang lebih teknikal, terutamanya dalam alat pengekodan dan visualisasi.

"Pensyarah di Institut Vertical membantu untuk membahagikan masalah yang kompleks kepada komponen yang lebih kecil. Itu memberi saya motivasi dan keyakinan untuk menangani cabaran di tempat kerja," kata Hidayah.
Related article image
(Gambar: Hidayah Alias)
ANALISIS DATA KEMAHIRAN PENTING DALAM DUNIA DIGITAL

Hidayah menekankan bahawa kemahiran data kini menjadi keperluan di hampir semua bidang kerjaya profesional.

Pada masa yang sama, kemahiran "soft skills" seperti adaptasi dan pemikiran kritis juga penting.

Menurutnya, kemahiran baharu yang diraihnya memberi impak besar kepada kerjayanya.

"Belajar untuk mereka kod dalam 'Python' benar-benar mengubah cara saya membuat kerja. Ia membantu saya 'automate' tugasan yang berulang, menganalisis data dengan lebih pantas dan mencipta visual yang lebih bermakna," kata Hidayah.

Ini turut meningkatkan keyakinannya untuk mengendalikan projek kompleks dan bekerjasama dengan pasukan teknikal.

Beliau percaya pembelajaran sepanjang hayat merupakan tanggungjawab individu dan pembelajaran tidak berhenti sebaik sahaja anda mula bekerja.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita