Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembelajaran bahasa Melayu di sekolah disesuaikan supaya kekal relevan: Dr Maliki

Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman mendedahkan perkara itu di Parlimen pada Rabu (3 Mac) dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Pendidikan (MOE).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pembelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah disesuaikan bagi menghidupkan bahasa ibunda itu dalam kalangan generasi pelajar baru.

Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman mendedahkan perkara itu di Parlimen pada Rabu (3 Mac) dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Pendidikan (MOE).

Dr Maliki memberi perkembangan berhubung pembelajaran bahasa Melayu di sekolah sebagai respons kepada pertanyaan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Menurut Dr Maliki, MOE maklum bahawa jumlah pelajar yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah semakin berkurangan.

Namun begitu asas yang kukuh dalam bahasa Ibunda, katanya, membolehkan seseorang itu berurusan di rantau ini dengan lebih berkesan sambil terus melestarikan warisan.

Lantaran itu, cara pembelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah kini sudah disesuaikan supaya kekal relevan dengan kehidupan seharian para pelajar.

Dr Maliki memberi contoh bagaimana Guru Peneraju Zainaba Omar dari Sekolah Rendah Clementi menerapkan pembelajaran harian melalui "tugasan dunia sebenar" seperti menyediakan hidangan semasa sarapan.

"Pendekatan berasaskan tugas ini menjadikan pembelajaran bahasa lebih autentik. Saya dengar murid-muridnya lebih yakin bukan sahaja dalam menggunakan Bahasa Melayu tetapi dalam menyediakan hidangan harian mereka juga," kongsi Dr Maliki.

IBU BAPA, MASYARAKAT JUGA MAIN PERANAN PENTING

Usaha meningkatkan pembelajaran bahasa Melayu juga perlu mendapat penyertaan aktif ibu bapa dan masyarakat, tambah Dr Maliki.

Beliau memberi jaminan bahawa MOE komited dalam menyokong usaha-usaha sedemikian melalui Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Salah satu usaha utama MLLPC adalah Kem Perkasa Warisan yang dianjurkan bersama Persatuan Rakyat dan MESRA.

Dr Maliki berkata: "Saya sanjung usaha-usaha ini, dan yakin kita akan terus meneroka cara-cara terbaik untuk menyemarakkan bahasa Melayu agar terus menjadi bahasa yang hidup di rumah, sekolah dan dalam masyarakat kita."

Program itu bertujuan menyediakan peluang kepada murid-murid sekolah rendah untuk mendalami pengetahuan mereka tentang budaya dan warisan Melayu melalui kegiatan amali.

Sejak dilancarkan pada 2018, program itu sudah memberi manfaat kepada lebih 1,400 pelajar dari 39 sekolah rendah dan menengah.

Malah, Kem Perkasa Warisan kini sudah dilanjutkan kepada para pelajar posmenengah, kongsi Dr Maliki.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan