Pembelajaran bahasa ibunda sekolah rendah akan lebih seronok mulai 2024
SINGAPURA: Video animasi, permainan online dan realiti tambahan (AR) akan lebih diterapkan dalam pembelajaran Bahasa Ibunda.
Ia merupakan sebahagian daripada kurikulum yang diperbaharui yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada hari Sabtu (26 Ogos).
Kurikulum baharu, yang akan dilaksanakan secara bertahap-tahap bermula dengan kohort Darjah 1 pada 2024, bertujuan untuk menggalakkan literasi silang budaya.
CIRI-CIRI KURIUKULUM BAHASA IBUNDA 2024
ia akan memberi penekanan lebih besar terhadap membangunkan Kemahiran Abad Ke-21 pelajar seperti kemahiran memahami tentang suatu budaya dan budaya lain.
Pendekatan kaedah "multi-modal" untuk menyokong para pelajar menerusi daya penglihatan, pendengaran dan kinestetik.
Kurikulum baharu itu akan menggabungkan penggunaan teknologi yang lebih meluas untuk meningkatkan penglibatan dan pembelajaran kendiri.
Sebagai contoh, murid-murid boleh membaca e-buku dengan fungsi interaktif dan penceritaan digital di rumah atau bermain permainan yang meningkatkan keupayaan mengecam perkataan.
Bagi kelas bahasa Melayu, para pelajar boleh mempelajari kosa kata baharu menerusi cara yang lebih menyeronokkan menerusi lagu.
"Kurikulum baharu ini banyak menggunakan teknik bercerita jadi murid-murid sangat tertarik dengan penceritaan ini dan watak-watak yang ditampilkan semuanya unik-unik belaka. Ada gergasi, arnab yang ada kuasa ajaib. Jadi murid-murid sangat meminati watak-watak ini. Jadi mereka rasa teruja dan mahu belajar. Dan selain itu ada lagu-lagu pada setiap permulaan unit, ada disertakan lagu-lagu yang sangat menarik dan secara tidak langsung, murid-murid akan dapat belajar banyak kosa kata," kongsi guru bahasa Melayu Sekolah Perempuan Haig Cik Rita Zulkarnain Taha kepada BERITAmediacorp.
KEPENTINGAN DWIBAHASA DI S'PURA
Kurikulum baharu ini dikatakan tepat pada masanya.
Ini kerana satu tinjauan oleh Institut Kajian Dasar pada 2020,mendapati bahawa lebih ramai rakyat Singapura^ yang fasih dalam bahasa Inggeris, dengan lebih 30 peratus daripadanya lebih selesa menggunakan bahasa tersebut.
Encik Chan Chun Sung berkata ia membimbangkan kerana dwibahasa adalah bahagian penting dalam identiti Singapura.
"Keupayaan menghargai kepelbagaian, bekerjasama dengan kepelbagaian dan memanfaatkan kepelbagaian untuk mencipta sesuatu yang baharu, sesuatu yang lebih bermakna. Dan ini adalah sifat penting bagi Singapura. Dalam dunia yang sengit ini, kami tahu bagaimana untuk menambah nilai kepada orang lain apabila kami menggabungkan idea dan pandangan yang berbeza-beza," kata beliau.
Encik Chan Chun Sing berkata MOE telah menyemak kurikulum bahasa ibunda sedia ada dengan maklum balas yang diterima daripada lebih 11,000 pelajar, 1,000 guru dan 4,000 ibu bapa.
Menurut beliau, meskipun maklum balas yang diterima sangat positif, para responden mengatakan bahawa pelajar mempunyai peluang terhad untuk belajar dan menggunakan ibunda di luar bilik darjah.
“Oleh itu, kurikulum baru ini akan memberi lebih banyak tumpuan supaya pelajar dapat menikmati pembelajaran dan menggunakan bahasa ibunda di dalam dan luar bilik darjah,” jelas beliau.
Menurutnya kurikulum baharu itu akan menggariskan budaya etnik setempat dalam setiap bahasa ibunda tetapi juga menggalakkan kecelikan silang budaya.
Sebagai contoh, buku teks bahasa Melayu darjah satu akan memperkenalkan murid-murid kepada ‘popiah’ sebagai sejenis hidangan Teochew, dan ‘lumpia’ iaitu sejenis popiah versi Filipina.
Ini supaya “murid-murid akan lebih menghargai persamaan silang budaya, dan berhubung dengan rakan mereka di rantau ini dengan lebih baik.
MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA
Nusaibah Muhammad Nabil antara murid yang menyertai pelbagai aktiviti interaktif semasa kurikulum baharu itu diperkenalkan.
Antaranya seperti menyanyi lagu unit pembelajaran "Mari ke Sekolah", dan menghadiri sesi bercerita.
Ibunya, Cik Nadzirah amat mengalu-alukan kurikulum baharu itu.
"Saya mendapati bahawa kurikulum yang memaparkan watak yang berbilang kaum dan keupayaan sangat manfaatkan kerana ia mendedahkan murid-murid kepada konteks tempatan. Justeru memupuk sikap inklusif dalam murid-murid melalui aktiviti-aktiviti yang menarik," kata Cik Nadzirah.
Cik Nuri Marissa, seorang lagi ibu pula berkata bahawa kurikulum baharu itu meningkatkan keyakinan anaknya menggunakan bahasa Melayu.
"Saya rasa kurikulum ini sangat baik untuk kanak-kanak sebab ia dapat memupuk minat dalam Bahasa Melayu. Seperti anak saya, dia sebelum ini kerap berbahasa Inggeris. Jadi dengan adanya kurikulum seperti ini, dia lebih fasih berbahasa Melayu dan lebih menggunakan bahasa Melayu di rumah," ujar Cik Nuri Marissa kepada BERITA Mediacorp.
Simposium yang bertemakan "Flourish in the Wonderland of Our Languages,” itu menampilkan lebih daripada 40 gerai pameran dan hampir 45 sesi perkongsian serta bengkel.
Di acara itu juga, 15 guru prasekolah diiktiraf di atas kecemerlangan mereka untuk menjadikan pembelajaran bahasa ibunda menarik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.