Pembekal yang subahat dengan fomen SBS Transit untuk tipu syarikat S$210,000, dipenjara
Seorang pengurus operasi yang bersubahat dengan fomen depot bas SBS Transit untuk menipu syarikat pengangkutan itu lebih S$210,000 sepanjang tempoh tiga tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan hari ini (22 Jun).
Gambar fail: Jeremy Long
SINGAPURA: Seorang pengurus operasi yang bersubahat dengan fomen depot bas SBS Transit untuk menipu syarikat pengangkutan itu lebih S$210,000 sepanjang tempoh tiga tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan hari ini (22 Jun).
Ketika jenayah dilakukan, Koh Dawei, 34 tahun bekerja untuk syarikat Venda Engineering & Trading iaitu pembekal perkhidmatan luar yang menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan bagi SBS Transit di Depot Bas Soon Lee.
Koh bersubahat dengan Ong Sang Fei, 47 tahun untuk menubuhkan sebuah syarikat lain, Azech Engineering untuk menjalankan kerja-kerja secara ad hoc di depot itu. Namun, kerja-kerja tersebut sebenarnya dilakukan oleh juruteknik Venda.
Koh dan Ong bersetuju bahawa Azech akan memberi sebut harga dan invois di bawah nama syarikat tersebut tetapi kerja-kerja akan dijalankan oleh juruteknik Venda.
Kedua-dua mereka menerima bayaran invois sejumlah S$66,610.50 antara 2013 dengan 2015. Lagi 113 dakwaan berhubung kerja-kerja ad hoc melibatkan invois sebanyak S$145,192.55 dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Koh dan Ong maklum bahawa kakitangan SBS Transit tidak dibenarkan untuk meraih ganjaran dalam tempoh bekerja di syarikat itu dan Venda dilarang membenarkan jurutekniknya bekerja menjangkaui skop pengambilan bekerja mereka.
Koh hari ini dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Hakim Daerah Ng Peng Hong. Rakan subahatnya pula dikenakan hukuman penjara setahun mulai April lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.