Skip to main content

Singapura

Pembekal pihak ketiga bakal didenda susuli masalah teknikal sistem ETA bas

Anggaran Waktu Membaca:
Pembekal pihak ketiga bakal didenda susuli masalah teknikal sistem ETA bas
Maklumat di pusat perhentian bas dan aplikasi pengangkutan memaparkan masa ketibaan yang tidak tepat disebabkan isu teknikal pada 21 Jan 2026. (Gambar: CNA/Justin Tan)
Diterbitkan : 03 Mar 2026 05:44PM Dikemas Kini : 03 Mar 2026 05:46PM
SINGAPURA: Pembekal pihak ketiga akan dikenakan denda kewangan menyusuli masalah teknikal yang menyebabkan waktu ketibaan bas menjadi tidak tepat.

Demikian menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow.

Masalah itu mula dikesan pada 10 Januari dan pulih sepenuhnya lebih sebulan kemudian, iaitu pada 12 Februari, kata Encik Siow dalam jawapan bertulis di parlimen pada Selasa (3 Mac).

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Cik He Ting Ru (WP-Sengkang) yang bertanya mengapa tarikh tetap bagi pemulihan tidak diumumkan lebih awal dan sama ada terdapat pelanggaran kontrak perjanjian tahap perkhidmatan.

Encik Siow berkata bahawa denda kewangan akan dikenakan ke atas pembekal tersebut mengikut syarat-syarat perjanjian.

Mediacorp sudah menghubungi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk mengetahui identiti pembekal dan jumlah denda tersebut.

APA YANG BERLAKU

Masalah tersebut menyebabkan paparan di perhentian bas dan aplikasi pengangkutan menunjukkan waktu ketibaan yang salah.

Sistem anggaran masa ketibaan (ETA) bas sudah ditetapkan semula pada 21 Januari semasa LTA menyiasat masalah teknikal yang memaparkan waktu menunggu yang sangat lama.

Pada 22 Januari, LTA menyatakan pemulihan akan memakan masa empat hari.

Namun, pada 27 Januari, ia memaklumkan sistem hanya akan pulih sepenuhnya pada hujung minggu tersebut.

Pada 7 Februari, sistem itu sudah sekitar 90 peratus pulih, dan pemulihan sepenuhnya dicapai pada 12 Februari.

PEMULIHAN PENUH

Encik Siow menjelaskan bahawa untuk memulihkan sistem ETA sepenuhnya, kerja-kerja fizikal perlu dilakukan pada sebahagian besar armada bas.

Ketepatan sistem juga perlu disemak berbanding rekod ketibaan bas yang sebenar.

"Sepanjang tempoh ini, prestasi sistem tidak menentu kerana jumlah bas yang sudah dibaiki dan beroperasi setiap hari adalah berbeza-beza," katanya.

Beliau menambah bahawa LTA sentiasa memberikan kemas kini terbaharu sehingga semua bas selesai dibaiki.

Dalam soalan berasingan, Cik He bertanya sama ada penilaian risiko sudah dilakukan ke atas sistem ETA sebelum gangguan berlaku.

Encik Siow memaklumkan sistem itu perlu menjalani penilaian risiko setiap dua tahun.

Penilaian terakhir pada Julai 2024 hanya mengesan "masalah kecil" yang sudah dihuraikan.

"Malangnya, ia tidak mengesan isu yang membawa kepada gangguan ini," kata Encik Siow, sambil menambah pihak berkuasa akan menyemak cara untuk menambah baik penilaian risiko pada masa hadapan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita