Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembekal Fullerton Health digodam, data pelanggan dibocorkan

Fullerton Health telah membuat laporan polis selepas 'server' pembekalnya digodam, mendedahkan maklumat peribadi milik beberapa pelanggannya di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembekal Fullerton Health digodam, data pelanggan dibocorkan

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Kirill Kudryavtsev)

Diterbitkan : 25 Oct 2021 09:10PM Dikemas Kini : 25 Oct 2021 09:19PM

SINGAPURA: Fullerton Health telah membuat laporan polis selepas 'server' pembekalnya digodam, mendedahkan maklumat peribadi milik beberapa pelanggannya di Singapura.

Syarikat pembekal itu, Agape Connecting People Holdings, membantu membuat janji temu bagi pesakit Fullerton Health, menurut syarikat penyedia jagaan kesihatan itu pada Isnin (25 Okt).

"Fullerton Health mengesahkan bahawa rangkaian IT, sistem dan pangkalan datanya sendiri tidak diakses atau dicerobohi," tambahnya.

Dalam satu kenyataan, Agape menyatakan pada 19 Oktober ia mendapati bahawa maklumat pelanggan mungkin dibocorkan kerana "diakses tanpa kebenaran oleh pihak ketiga yang berniat jahat".

Data pelanggan yang mungkin terjejas terhad kepada nama dan nombor telefon, menurut syarikat itu, sambil menambah maklumat kad kredit dan kata kunci tidak dibocorkan.

"Insiden itu hanya melibatkan pelanggan kami iaitu Fullerton Healthcare," tambahnya.

"Pencerobohan dikenal pasti dan kami bertindak segera bagi mengelakkan pembocoran lanjut. Sistem itu diasingkan dan digantung. Infrastruktur utama kami tidak terjejas."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Fullerton Health menyatakan ia sudah memaklumkan kejadian itu kepada pelanggan yang terjejas di Singapura.

"Siasatan masih dijalankan bagi menentukan jumlah sebenar dan identiti individu yang terjejas. Fullerton Health telah mengesahkan pencerobohan itu melibatkan data pesakit dalam operasinya di Singapura," menurut penyedia jagaan kesihatan itu, sambil menambah bahawa operasi di luar Singapura tidak terjejas.

"Syarikat ini juga mendapatkan khidmat pakar forensik digital dan keselamatan siber untuk membantu dalam siasatan dan bekerjasama dengan Agape bagi menentukan punca kejadian dan tindakan pemulihan yang boleh diambil bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang."

Agape, sebuah perusahaan sosial, menyatakan ia sudah mengambil langkah bagi mengelakkan pembocoran lanjut data dan sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan dalam hal ini.

"Kami kesali insiden ini menimbulkan kesulitan kepada pelanggan kami dan pelanggan mereka," tambahnya.

Polis dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi menyatakan pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan