Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembekal alat pemadam api Fire Safety & Prevention (SG) diarah hentikan amalan tidak adil

Fire Safety & Prevention (SG) mendakwa ia ada kaitan dengan Pemerintah, dan menjual alat pemadam api pada harga 10 kali ganda daripada harga yang ditawarkan kepada pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembekal alat pemadam api Fire Safety & Prevention (SG) diarah hentikan amalan tidak adil

Gambar hiasan alat pemadam api (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 04:30PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 05:42PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat yang menjual alat pemadam api dari rumah ke rumah didapati berkali-kali terlibat dalam amalan-amalan yang tidak adil dengan membuat tuntutan-tuntutan palsu dan mengelirukan.

Antara amalan-amalan tidak adil, pekerja Fire Safety & Prevention (SG) didapati memberitahu para pengguna bahawa ia akan menjadi wajib bagi setiap isi rumah untuk memiliki alat pemadam api.

Mereka juga mendakwa bahawa syarikat mereka ada kaitan atau diluluskan oleh pihak berkuasa sedangkan ini tidak benar sama sekali, menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Isnin (11 Okt).

Kelvin Tan Yaosheng, pemilik tunggal yang berniaga di bawah nama Fire Safety & Prevention (SG), diarahkan supaya menghentikan sebarang amalan jual beli yang tidak adil, tambah CCCS.

Menurut CCCS, siasatan terhadap syarikat tersebut dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Ia dijalankan sekitar masa yang sama semasa Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menerbitkan makluman yang memberi amaran kepada para pengguna mengenai amalan-amalan tidak adil sesetengah pembekal alat pemadam api, termasuk Safety & Prevention (SG).

NAIKKAN HARGA 10 KALI GANDA

Siasatan menunjukkan sama ada Tan atau bekas pekerjanya - Adrian Tan Wei Liang, Chai Ri Jou atau Zack Chai, dan Alex Neo Boon Chong - terlibat dalam pelbagai amalan tidak adil sepanjang tempoh menjual alat pemadam api kepada pengguna.

Mereka membuat tuntutan seolah-olah syarikat mereka ada kaitan atau diluluskan oleh Pemerintah, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) atau pelbagai pusat masyarakat untuk menjual alat pemadam api sedangkan ia tidak benar sama sekali, tegas CCCS.

CCCS menambah, kumpulan itu turut mendakwa bahawa pemegang kad PAssion atau NTUC, anggota Generasi Perintis atau warga Singapura berhak menerima diskaun, sekalipun potongan harga itu tidak wujud sama sekali.

Pada awalnya, mereka didapati menawarkan harga S$17.90 bagi satu alat pemadam api sebelum mengenakan harga setinggi SS$179 bagi alat yang sama.

Mereka juga mengatakan bahawa alat pemadam api itu tidak boleh dikembalikan.

Para pelanggan sebenarnya berhak membatalkan pembelian alat pemadam api tersebut dan mendapatkan bayaran balik, tegas CCCS. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan