Skip to main content

Singapura

Pembedah pemindahan organ kongsi cabaran, kepuasan beri pesakit peluang kedua untuk hidup

Anggaran Waktu Membaca:
Pembedah pemindahan organ kongsi cabaran, kepuasan beri pesakit peluang kedua untuk hidup

Gambar hiasan: TwilightShow/iStock

SINGAPURA: Seorang lelaki, yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dan sedang menunggu kelahiran bayi sulungnya, sakit tenat dan memerlukan organ hati.

Adik lelakinya tampil, tetapi doktor khuatir dia mungkin akan turut mempunyai keadaan perubatan yang diwarisi, sama seperti pesakit itu, cerita Profesor Madya Jeyaraj Prema Raj, seorang pembedah pemindahan hati di Hospital Besar Singapura (SGH).

Dan bahagian hati tersebut yang didermakan dahulu perlu diuji di Amerika Syarikat bagi menilai penyesuaian pemindahan - dan pada ketika itu, keadaan pesakit tersebut sudahpun bertambah teruk.

Kesnya berada pada peringkat "samar-samar" di mana doktor mempunyai perasaan bercampur-baur untuk melakukan pemindahan itu memandangkan pesakit tersebut sangat tenat, jelas Prof Madya Prema Raj, konsultan kanan hospital itu bagi pembedahan hepato-pancreato-biliary dan pemindahan.

Namun, keluarga pesakit tersebut ingin pemindahan itu untuk diteruskan.

Lantas, sebuah pasukan yang terdiri daripada kira-kira 20 doktor berbincang dan menyimpulkan bahawa mereka boleh meneruskan dengan rancangan itu.

Operasi tersebut berjalan dengan lancar, dan pesakit itu dapat terus hidup dan menyaksikan kelahiran anaknya.

"Ia merupakan perkara yang paling menakjubkan," ujar Prof Madya Prema Raj. "Seluruh pasukan itu merasakan itu kerana kami mengambil risiko tersebut. Kami tidak menyerah kalah terhadapnya."
 
Profesor Madya Prema Raj (ketiga dari kiri) dan sebilangan anggota pasukan pemindahan hati bersama pesakit tersebut (duduk) dan penderma itu, adik lelakinya (empat dari kiri). (Gambar: Singapore Health)
SENARAI MENUNGGU BAGI ORGAN

Di Singapura, keputusan seorang ibu untuk mendermakan organ otak anaknya yang berusia 14 tahun yang meninggal dunia, mencuri perhatian ramai pada hujung bulan lalu.

Lelaki terbabit, Isaac Loo yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah, rebah ketika berlari sejauh 2.4 kilometer, menurut laporan tempatan.

Meskipun ibunya teragak-agak pada mulanya, dia akhirnya meneruskan rancangan tersebut selepas diberitahu bahawa terdapat ratusan orang yang berada dalam senarai menunggu.

Setakat Disember lalu, terdapat lebih 500 pesakit dalam senarai menunggu negara, jelas Unit Pemindahan Organ Nasional (NOTU) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam menjawab pertanyaan Mediacorp.

Masa menunggu itu bergantung pada pelbagai faktor dan sebahagian besarnya disebabkan "jumlah kecil penderma organ yang sudah meninggal dunia", memandangkan tidak semua pesakit yang meninggal dunia sesuai secara klinikal untuk meneruskan pendermaan organ," tambahnya.

Penderma berpotensi itu dikehendaki dinilai sesuai secara perubatan dan dengan seorang penerima yang dipadankan, kata NOTU dan MOH.

Hari Pemindahan Sedunia juga jatuh pada minggu ini pada 6 Jun, yang menjadi satu peringatan setiap tahun kepada beribu-ribu orang di merata dunia yang masih hidup disebabkan pemindahan organ.

Di Singapura, Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA) membenarkan jantung, hati, buah pinggang dan kornea daripada rakyat Singapura atau penduduk tetap yang berusia 21 tahun ke atas didermakan bagi pemindahan, melainkan mereka telah mengecualikan diri mereka.

Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, kadar pengecualian bagi HOTA kekal pada sekitar tiga peratus daripada para penduduk, tambah NOTU dan MOH.

BAGAIMANA PEMINDAHAN BERLAKU

Pemindahan organ boleh dilakukan daripada kedua-dua penderma yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia - mereka yang diisytiharkan mati otak.

Dalam kes di mana penderma telah meninggal dunia, para pembedah akan dihubungi tidak kira pada bila-bila masa - selalunya ketika lewat malam - apabila sebuah organ tersedia.

Terdapat juga ketika di mana doktor dimaklumkan awal mengenai seseorang penderma yang berpotensi di sebuah unit jagaan rapi yang diuji bagi keadaan mati otak.

Pembedah akan meninjau butiran-butiran termasuk kumpulan darah, usia, berat badan dan sejarah perubatan untuk menilai sama ada ia berpadanan dengan penerima dalam senarai menunggu itu.

Organ tersebut kemudian diterima daripada penderma itu. Apabila organ itu dibenarkan bagi pemindahan, sebuah pasukan berasingan akan menilai penerima terbabit sama ada dia menghadapi sebarang jangkitan aktif atau demam, sebelum pembedahan tersebut boleh dilaksanakan.

Operasi pemindahan hati boleh mengambil masa kira-kira enam hingga lapan jam dan bagi kes yang lebih rumit, ia boleh menelan masa sehingga 22 jam.

Sejurus diperolehi, organ tersebut boleh disimpan selama kira-kira 12 jam dan harus digunakan dalam jangka waktu tersebut.
 
Profesor Madya Shridhar Iyer. (Gambar: NUH)
EMOSI BAK 'ROLER COASTER'

Para pembedah pemindahan organ, yang telah melakukan ratusan prosedur sejak berdekad-dekad lalu, memberitahu Mediacorp bahawa pekerjaan tersebut "tidak menjadi lebih mudah" dengan berlalunya masa.

"Tidak ada satu ketika pun apabila anda tidak berasa simpati langsung mendengar kisah-kisah pendermaan sedemikian," luah Profesor Madya Shridhar Iyer daripada Hospital Universiti Nasional (NUH).
Sumber : CNA/SS/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita