Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembatalan VTL S'pura-Saudi: Agensi umrah belum saksikan pembatalan dari jemaah setakat ini

Agensi-agensi umrah tempatan menyatakan ia belum lagi menyaksikan sebarang pembatalan tempahan umrah buat masa ini, walaupun Singapura sudah menangguhkan pelaksanaan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dengan Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agensi-agensi umrah tempatan menyatakan ia belum lagi menyaksikan sebarang pembatalan tempahan umrah buat masa ini, walaupun Singapura sudah menangguhkan pelaksanaan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dengan Arab Saudi.

VTL Singapura- Arab Saudi itu sepatutnya dilaksanakan 6 Disember ini. Bagaimanapun Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) semalam (28 Nov) memutuskan menangguhkannya sebagai langkah waspada terhadap penularan varian terbaru COVID-19, iaitu Omicron, yang dikatakan lebih berjangkit.

Tinjauan BERITAmediacorp ke atas enam syarikat umrah tempatan termasuk TM Fouzy Travel & Tours, Shahidah Travel, Noor Mohamad Travel dan TravelConnect mendapati syarikat-syarikat itu belum melihat sebarang pembatalan sejauh ini.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp untuk mengulas, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz TM Fouzy berkata "perkara ini masih terlalu awal untuk memberi maklum balas".

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Bagaimanapun, beliau akur bahawa dengan penangguhan VTL itu, para jemaah umrah yang pulang ke Singapura harus menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari.

Bagi syarikat TravelConnect.sg, ia akur bahawa para jemaahnya yang bakal berangkat tiga hari dari sekarang harus "menyusun semula jadual mereka".

Pengarah TravelConnect.sg, Ustaz Nafis Rahman tidak menyembunyikan rasa terkejut dan "agak terkilan" dengan pengumuman penangguhan VTL tersebut.

"Apabila VTL Saudi diperkenalkan, ia adalah satu berita gembira buat jemaah yang sudah mendaftar buat masa terdekat ini. Pendaftaran baru untuk umrah juga meningkat.

"Namun dengan pengumuman VTL Saudi yang ditunda semalam, maka agak kelam kabut buat jemaah kami yang seramai 53 orang yang akan berangkat lagi tiga hari ini pada 2 Disember untuk lakukan kembali susunan jadual mereka, cuti kerja mereka dan sebagainya kerana situasi sudah berubah kembali kepada SHN selama tujuh hari apabila mereka pulang ke Singapura," kata Ustaz Nafis.

Namun demikian beliau juga akur ia adalah satu langkah keselamatan yang perlu diambil pemerintah kerana varian Omicron.

"Namun kami harapkanlah agar ini cepat diselesaikan dan keadaan kembali normal dan jemaah dapat melaksanakan ibadah umrah dengan proses yang mudah," jelas Ustaz Nafis.

JEMAAH SINGAPURA DI ARAB SAUDI TERJEJAS

Sementara itu antara kumpulan jemaah umrah yang langsung terjejas adalah kumpulan yang dijadual pulang melalui Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) Singapura-Arab Saudi pada 6 Disember ini.

(Gambar: Agensi berita)

Mereka termasuklah 30 jemaah Noor Mohamad Services and Travel dan Shahidah Travel yang berada di Arab Saudi sekarang ini.

Namun demikian agensi-agensi tersebut memutuskan untuk mengekalkan tarikh pulang "seperti yang dirancang", iaitu 6 Disember.

Langkah tersebut dibuat meskipun mereka sudah membuat bayaran tambahan bagi kos hotel dan tiket penerbangan sekurang-kurangnya S$300 bagi memanfaatkan skim VTL tersebut ketika ia diumumkan sebelum ini.

Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad yang kini berada di Makkah berkongsi: "Dari hari ini hingga 6 Disember itu adalah jangka yang panjang, dalam masa satu minggu, jadi kami berharap dan berdoa supaya berita berita baik akan datang insya-Allah.

"Jemaah kami terjejas tapi kami sudahpun membuat perubahan kepada tiket penerbangan dan penginapan bagi memanfaatkan VTL itu.

"Jadi setakat ini, kami akan tetap teruskan jadual seperti yang dirancang dan... kami mendapati bahawa rata-rata (jemaah) masih lagi positif, maksudnya kita memang akur keadaan pandemik ataupun endemik sekarang ini masih berubah-ubah dan mereka akur akan risiko-risiko yang mendatang dan mereka masih lagi berharap keputusan penggantungan ini dapat dibatalkan atau ditarik semula."

Kumpulan jemaah Noor Mohamad yang berangkat pada 25 November lalu sebelum ini menukar tarikh pulang dari 4 Disember ke 6 Disember dan menambah penginapan dua malam di hotel bagi memanfaatkan VTL Singapura-Arab Saudi.

Dalam pengumumannya semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan VTL Singapura-Arab Saudi akan ditangguhkan "hingga diberitahu kelak" sebagai "langkah berjaga-jaga" untuk mengurangkan risiko membawa masuk varian baru Omicron COVID-19 yang seterusnya boleh menular di sini.

MOH menjelaskan ini memandangkan jarak dekat Timur Tengah sebagai rangkaian pengangkutan dengan negara-negara terjejas Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

SAUDI AIRLINES: TIADA KUARANTIN DIPERLUKAN BAGI RAKYAT S'PURA

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Saudi Airlines juga menyatakan rakyat Singapura yang masuk ke Arab Saudi tidak perlu menjalani sebarang kuarantin, meskipun VTL Singapura-Arab Saudi ditunda.

Para jemaah melakukan umrah.  (Gambar: AP)

Ini dengan syarat mereka sudah lengkap divaksin dan juga mempunyai bukti keputusan negatif ujian PCR yang diambil dalam 72 jam sebelumnya.

Bermakna, para jemaah umrah juga tidak terjejas.

Bagaimanapun rakyat Singapura yang pulang ke Singapura nanti akan perlu menjalani SHN menurut pihak Saudi Airlines lagi.

Selain itu, pihak Saudi menurutnya tidak akan lagi menyekat kemasukan pendatang dari Pakistan, Brazil, Vietnam, Mesir, India dan Indonesia dan mereka dibenarkan masuk ke Arab Saudi mulai 1 Disember. Namun, mereka masih perlu menjalani kuarantin selama lima hari. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan