Skip to main content

Singapura

Pembantu rumah larikan diri dari majikan selepas pinjam wang dari pemiutang tanpa lesen

Sebuah keluarga di Singapura meminta orang ramai membantu mencari pembantu rumah Indonesia yang meninggal rumah mereka di Punggol selepas meminjam wang dari pemiutang tanpa lesen.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah larikan diri dari majikan selepas pinjam wang dari pemiutang tanpa lesen

(Gambar: Facebook/Ika Lestari)

SINGAPURA: Sebuah keluarga di Singapura meminta orang ramai membantu mencari pembantu rumah Indonesia yang meninggal rumah mereka di Punggol selepas meminjam wang dari pemiutang tanpa lesen.

Cik Ika Lestari, seorang guru 40 tahun menulis di media sosial Jumaat lalu (5 Jan) bahawa beliau dan suaminya telah diganggu kumpulan "tailong" selepas mereka membantu membayar hutang S$3,950 kepada tiga orang berbeza.

Amah dari Indonesia, Maemanah, kali terakhir dilihat di Pusat Pertukaran Punggol pada malam Jumaat lalu, kata Cik Ika.

Cik Ika memberitahu Mediacorp pada Isnin (8 Jan) bahawa Maemanah, yang telah bekerja dengan keluarganya sejak Nauari tahun lalu, telah meminta gaji lebih awal pada malam Khamis lalu.

Cik Ika terkejut akan permintaan pembantu rumahnya itu kerana beliau baru saja membayar gajinya pada 26 Disember lalu.

Beliau menambah ini bukan kali pertama pembantu rumahnya itu meminta gaji lebih awal.

Cik Ika berkata amahnya itu kelihatan cemas Khamis lalu dan kemudian mendakwa dia memerlukan wang untuk membayar seseorang yang sedang menunggu di kolong blok flat dan ini membuat Cik Ika berasa curiga.

Maemanah kemudian memberitahu majikannya dia telah meminjam wang dari pemiutang tidak berlesen.

Cik Ika berkata beliau dihubungi tiga orang berbeza yang memintanya membayar hutang pembantu rumahnya yang mencapai sejumlah S$3,950.

Maemanah rupanya telah meminjam wang dari pemiutang wang tidak berlesen sejak 10 Disember lalu, kata majikannya.

“Kami sangka semuanya sudah selesai selepas membayar S$3,950,” kata Cik Ika.

“Maemanah ucap terima kasih kepada saya kerana membantu membayar hutang itu, walaupun kami belum bersetuju dia terus bekerja dengan kami dan saya mahu merujuk kepada suami saya yang sedang berada di luar negara dan hanya pulang pada hari Sabtu.”

Sehari kemudian sekitar jam 1 tengah hari, Cik Ika menerima lebih banyak pesanan dari nombor telefon yang tidak dikenali menerusi WhatsApp, menuntut lebih banyak bayaran bagi hutang Maemanah.

Cik Ika menghubungi dan menghantar mesej kepada amahnya tetapi tidak dibalas.

Suami beliau kemudian menonton rakaman camera CCTV di rumah mereka yang menunjukkan Maemanah sejurus sebelum meninggalkan rumah itu berpakaian baju hijau dan tudung kuning air.

Cik Ika bergegas pulang ke rumah dari kerja selepas salah seorang anak lelakinya menelefonnya memberitahu si pembantu rumah itu tiada di rumah.

“Apabila saya sampai di rumah pada 2.30 petang, saya dapati laci saya yang terkunci telah digeledah dengan pasport Maemanah hilang bersama dengan beg dan pakaiannya.

“Saya nampak kesan darah pada permaidani di bilik saya," tambah beliau.

Cik Ika kemudian menemui sebilah pisau di luar koridor di mana beliau percaya telah digunakan untuk membuka lacinya yang terkunci.

Cik Ika kemudian membuat laporan polis di Pusat Polis Kejiranan Punggol sekitar 4 petang Jumaat lalu dan kemudian menghubungi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk membatalkan permit kerja Maemanah.

Cik Ika berkata ada orang awam yang menghantarnya mesej menerusi Instagram Sabtu lalu, memaklumkan bahawa amahnya dilihat di Pusat Pertukaran pada 5 Januari lalu.

Dan dia memakai pakaian yang sama seperti dalam rakaman di rumah Cik Ika.

“Saya rasa Maemanah masih ada di Singapura, tidak mungkin dia boleh meninggalkan Singapura selepas saya membuat laporan polis.”

Cik Ika berkata gangguan oleh orang-orang yang tidak dikenali masih berterusan tetapi beliau dinasihatkan pihak polis agar tidak mengendahkan mereka dan kekal menutup pintu.

“Selepas kejadian itu, kami memutuskan untuk bertukar kepada kunci digital untuk kedua-dua pintu rumah dan pintu pagar. Kosnya lebih S$2,000,” katanya lagi.

Pihak polis mengesahkan satu laporan polis telah dibuat dan siasatan masih diteruskan.
Sumber : Today/AA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita