Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah harus diberi cukup makan semasa majikan bercuti

Sedang para keluarga bersiap sedia untuk bercuti bulan ini, sesetengah pembantu rumah asing (FDW) menyuarakan keprihatinan mengenai sama ada mereka akan mempunyai makanan yang mencukupi apabila majikan mereka bercuti. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah harus diberi cukup makan semasa majikan bercuti

Gambar fail.

Diterbitkan : 11 Dec 2018 03:18PM Dikemas Kini : 11 Dec 2018 03:21PM

SINGAPURA: Sedang para keluarga bersiap sedia untuk bercuti bulan ini, sesetengah pembantu rumah asing (FDW) menyuarakan keprihatinan mengenai sama ada mereka akan mempunyai makanan yang mencukupi apabila majikan mereka bercuti. Mereka berkata demikian di laman-laman Facebook yang memberi nasihat dan sokongan kepada para FDW.

Pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tempatan seperti Transient Workers Count Too (TWC2) dan Pertubuhan Kemanusiaan bagi Ekonomi Migrasi (HOME) menyatakan bahawa pihaknya juga mendapati lebih banyak aduan daripada para pekerja mengenai jumlah makanan yang tidak mencukupi atau mutu makanan yang kurang baik. Keprihatinan mengenai pemakanan juga adalah salah satu isu utama yang dibangkitkan oleh FDW.

Ini meskipun Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memerlukan semua majikan memberi FDW tiga hidangan makanan setiap hari, dan ia mesti cukup untuk seseorang wanita melakukan kegiatan sederhana.

Bagaimanapun, seorang jurucakap TWC2 memberitahu Mediacorp bahawa pertubuhan itu mendapati peningkatan pada jumlah aduan mengenai makanan yang tidak cukup.

HOME, yang menyediakan makanan dan perlindungan bagi para FDW yang mengalami kesulitan, menyatakan bahawa sekitar 40 peratus daripada 800 wanita di tempat perlindungan yang disediakannya membuat aduan mengenai makanan yang tidak mencukupi atau mutu makanan yang kurang baik.

Pengurus Sokongan dan Perhubungan HOME, Stephanie Chok, berkata aduan-aduan yang diterima adalah mengenai FDW diberikan lebihan makanan, atau makanan yang basi ataupun yang tidak mencukupi. Ada juga yang diberikan makanan yang tidak dapat dimakan disebabkan oleh larangan pemakanan atau atas sebab-sebab agama.

Cik Chok menambah bahawa bagi kebanyakan kes itu, para pekerja tidak berani untuk menyuarakan keprihatinan mereka kepada para majikan kerana takut dimarahi atau khuatir kontrak pekerjaan mereka akan dibatalkan.

Bagaimanapun, sesetengah FDW yang ditemui Mediacorp berkata mereka diberikan sejumlah wang dan mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan mengenai bagiamana untuk membelanjakan wang tersebut.

Margaretha Gole, 33 tahun, seorang pembantu rumah warga Indonesia, berkata majikannya biasanya memberi beliau wang antara S$50 hingga S$70 jika mejaikannya berada di luar negara sekitar selama seminggu.

MOM menekankan bahawa para majikan perlu menyediakan makanan yang mencukupi dan mematuhi semua kewajipan berhubung pengambilan FDW, tidak kira sama ada si majikan berada di Singapura ataupun di luar negara.

Pengarah Eksekutif CDE Shamsul Kamar berkata sebelum para majikan bercuti, mereka harus memastikan agar terdapat jumlah roti, biskut, beras, makanan protein, daging dan sayur-sayuran yang mencukupi untuk para FDW.

Para majikan juga boleh memberi FDW jumlah wang yang mencukupi supaya mereka boleh membeli makanan sepanjang tempoh si majikan berada di luar negara.

"Seseorang FDW tidak sepatutnya menggunakan wang mereka sendiri untuk membeli makanan," kata Encik Shamsul.

"Para FDW adalah pekerja asing yang datang ke Singapura untuk mencari nafkah dan mereka seharusnya diperlakukan dengan hormat dan belas kasihan. Perasaan hormat-menghormati dan saling memahami mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak. Ini akan merangsang FDW untuk melakukan yang terbaik bagi para keluarga majikan mereka," tambah Encik Shamsul.  

Sumber : CNA/AI/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan