Skip to main content

Singapura

Pembantu rumah dipenjara sebab pindahkan lebih S$41,000 dari akaun bank majikan ke akaun sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
 Pembantu rumah dipenjara sebab pindahkan lebih S$41,000 dari akaun bank majikan ke akaun sendiri

Gambar fail mesin-mesin ATM yang terletak di luar sebuah bank DBS.

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang diamanahkan dengan butiran bank majikannya yang berusia 82 bagi memindahkan gajinya, menggunakan lebih daripada S$41,000, melebihi jumlah gajinya.

Albertina Kallu, seorang warga Indonesia 46 tahun, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan pada Isnin (5 Feb). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mengakses bahan komputer dengan niat melakukan jenayah pecah amanah majikannya.

Mahkamah diberitahu bahawa Albertina bekerja untuk seorang wanita 82 tahun yang menghidapi demensia dan hilang daya ingatan.

Albertina dibayar gaji bulanan S$720 melalui bayaran wang tunai atau pemindahan bank.

Pada April 2023, mangsa menyerahkan butiran akaun bank DBSnya kepada Albertina.

Mangsa melakukan demikian kerana daya penglihatannya yang buruk, dan beliau mempercayai Albertina untuk memindahkan gaji ke akaunnya.

Akaun tersebut dimiliki oleh mangsa dan anak saudara perempuannya. Ia digunakan untuk simpanan pelaburan dan perbelanjaan harian mangsa.

Albertina hanya diamanahkan untuk memindahkan wang gajinya dari akaun bank mangsa ke akaunnya sendiri.

Bagaimanapun, antara April hingga Oktober tahun lalu, dia membuat sejumlah pemindahan yang tidak diluluskan, melebihi gajinya sendiri.

Albertina pada mulanya memindahkan S$954 pada April, diikuti dengan S$470 dan S$780 pada Jun.

Pada Julai, dia meningkatkan jumlah tersebut kepada S$3,780 sebelum meningkatkan lagi jumlah itu kepada S$14,780 pada Ogos.

Dia kemudian memindahkan ke akaunnya sendiri, S$11,280 dan S$9,280 pada September dan Oktober.

Secara keseluruhannya,Albertina memindahkan S$41,324 kepada dirinya dari akaun majikannya, melebihi jumlah gajinya.

Dia kemudian memindahkan kesemua jumlah itu ke akaun banknya di Indonesia dan membelanjakannya, termasuk membina sebuah rumah. Tiada sebarang wang yang diambil, dikembalikan Alberitina.

Pada Oktober 2023, anak saudara mangsa mengesan jenayah itu semasa menyemak kenyataan bank yang dikaitkan dengan akaun mereka.

Beliau membuat laporan polis dan pembantu rumah itu diberkas di rumah mangsa pada hari yang sama.

Hukuman bagi mengakses bahan komputer tanpa kebenaran untuk melakukan jenayah adalah penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita