Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah dipenjara 9 bulan; berkali-kali tendang dan pukul kanak-kanak 2 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah dipenjara 9 bulan; berkali-kali tendang dan pukul kanak-kanak 2 tahun

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 09 Mar 2022 11:23PM Dikemas Kini : 09 Mar 2022 11:25PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah dihukum penjara pada Rabu (9 Mac) kerana menampar, memukul dan menendang seorang kanak-kanak lelaki dua tahun sehingga terdapat lebam di bahagian belakang badannya. 

May Than Oo yang berusia 30 tahun mengaku bersalah atas satu tuduhan berlaku kasar di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA). Dia dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan, iaitu hukuman yang diminta pihak pendakwa. 

Mahkamah diberitahu bahawa pembantu rumah warga Myanmar itu ditugaskan untuk membuat kerja rumah dan menjaga mangsa serta dua adik-beradiknya. 

Sekitar 8.15 malam pada 15 Jun tahun lalu, May sedang melipat baju di bilik tidur mangsa apabila terbau sesuatu. Dia kemudian terlihat  lampin kanak-kanak itu sudah tembus, dan terdapat najis di tangan dan mainan mangsa. 

May pun memarahi mangsa kerana berkelakuan nakal dan menampar mukanya beberapa kali, sehingga dia terjatuh ke lantai dan menangis. 

May terus memukulnya berkali-kali sedang budak itu terlantar di lantai, pertama kali dengan lampin baru, dan kemudian dengan tuala. 

Wanita itu menyuruh mangsa ke tandas. Namun, apabila dia berdiri dan berjalan ke arah yang salah, May naik angin sekali lagi. 

Dia menggunakan tuala untuk memukul muka kanak-kanak itu  sekali lagi, dan kemudian memukulnya dengan tangan kanan, sehingga kanak-kanak itu terjatuh ke lantai. Apabila mangsa terlantar di lantai, May menendang mangsa dengan kaki kanannya. 

May membawa kanak-kanak itu ke tandas, menolaknya masuk dan menggunakan penyangkut baju untuk memukulnya dua kali di bahagian belakang badannya. 

Ibu bapa kanak-kanak itu tidak berada di rumah ketika kejadian itu. 

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana kes itu terbongkar, namun menyatakan ibu bapa mangsa membawanya ke hospital pada 18 Jun, dan polis kemudian dimaklumkan tentang kes penganiayaan kanak-kanak lewat hari itu. 

Laporan perubatan oleh hospital mendedahkan dua lebam berukuran kira-kira 1 sentimeter kali 3 sentimeter dan 1 sentimeter kali 7 sentimeter di bahagian belakang badan mangsa. 

Perbuatan tertuduh sebahagiannya dirakam kamera CCTV di rumah tersebut. 

May boleh dipenjara lapan tahun, didenda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan