Pembantu rumah dipenjara 8 minggu; hayun bayi, curi daripada majikan
Angkara bingit dengan tangisan kanak-kanak berusia satu tahun, seorang pembantu rumah asing bertindak dengan tonjol dahi bayi itu dan menghayunkannya beberapa kali.
Gambar fail seseorang yang digari.
SINGAPURA: Angkara bingit dengan tangisan kanak-kanak berusia satu tahun, seorang pembantu rumah asing bertindak dengan tonjol dahi bayi itu dan menghayunkannya beberapa kali.
Susiana dijatuhkan hukuman penjara lapan minggu pada Isnin (2 Mac).
Warga Indonesia berusia 36 tahun itu mengaku bersalah kerana bertindak kasar terhadap kanak-kanak itu dan mencuri telefon bimbit majikannya, dengan dua lagi tuduhan diambil kira dalam pertimbangan hukuman kesalahan.
Mahkamah diberitahu pada 27 September tahun lalu, majikan amah tersebut menyaksikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung rumahnya, yang boleh diakses menerusi satu aplikasi mudah alih.
Beliau melihat Susiana sedang memasak di dapur sebelum kanak-kanak itu berjalan ke arahnya sambil menangis. Susiana kemudian tonjol dahi kanak-kanak itu, menyebabkannya terduduk.
Kanak-kanak lelaki itu terus menangis dan duduk di lantai dapur sekitar 10 minit sebelum berdiri semula dengan sendiri.
Dengan perasaan bingit yang meluap, Susiana menggenggam pergelangan tangan kanak-kanak itu dan menghayunkannya ke paras dada. Dia kemudian mendukung budak itu keluar daripada pemandangan kamera CCTV.
Sebaik sahaja melihat perkara itu, majikan tersebut segera pulang dan bersemuka dengan Susiana yang mengakui jenayahnya. Datuk kepada majikan itu kemudian menghubungi polis.
Apabila polis memberkas Susiana lewat hari yang sama, majikan tersebut memintanya untuk mengosongkan beg yang dibawa sebelum meninggalkan rumah dengan polis.
Pembantu rumah itu mengaku dia mencuri iPhone 5S bernilai sekitar S$600 daripada konsol televisyen di ruang tamu kerana ingin menghubungi anaknya. Dokumen mahkamah menunjukkan Susiana juga mengambil sebuah telefon bimbit Samsung yang retak skrin, sebuah dompet dan fon telinga iPhone.
Kanak-kanak itu diperiksa di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) pada hari berikutnya di mana dia didapati meragam dan mengalami lebam.
Dalam rayuannya, Susiana berkata menerusi seorang jurubahasa bahawa dia "sangat kesal" dan mempunyai tiga anak kecil untuk ditanggung sebagai pencari nafkah tunggal keluarganya.
Bagi kesalahan bertindak kasar terhadap seorang kanak-kanak, dia boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda sehingga S$4,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan mencuri, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.