Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah dijel; rakam lelaki warga tua mandi, sebar di TikTok dan WhatsApp

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah dijel; rakam lelaki warga tua mandi, sebar di TikTok dan WhatsApp

Logo WhatsApp. (Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

Diterbitkan : 27 Jan 2022 11:54PM Dikemas Kini : 27 Jan 2022 11:57PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang bertanggungjawab menjaga seorang lelaki warga tua yang mengalami beberapa penyakit, merakamnya beberapa kali sedang mandi di tandas.

Dia kemudian menghantar rakaman itu yang menunjukkan alat sulit lelaki itu kepada seseorang menerusi Whatsapp, dan memuat naik satu lagi rakaman yang tidak menunjukkan alat sulit lelaki itu di TikTok.

Pembantu rumah Indonesia yang berusia 33 tahun itu dihukum penjara selama 17 bulan pada Khamis (27 Jan). Namanya dipadamkan daripada dokumen mahkamah.

Dia mengaku bersalah terhadap empat tuduhan termasuk sengaja merakam seseorang melakukan kegiatan peribadi tanpa kebenarannya, mengedarkan rakaman intim dengan sengaja tanpa kebenaran mangsa dan merakam alat sulit mangsa dengan sengaja tanpa kebenaran mangsa.

Sembilan lagi tuduhan diambil kira. Perintah mahkamah dikuat kuasakan untuk mengelakkan sebarang terbitan yang boleh mengenal pasti identiti mangsa ataupun tempat kejadian.

Mahkamah diberitahu bahawa pembantu rumah itu mula bekerja untuk keluarga mangsa yang berusia 74 tahun itu pada 1 Februari 2020. Dia ditugaskan untuk menjaga mangsa, menolongnya dengan tugas-tugas harian seperti mandi dan menggosok gigi, serta juga kerja rumah.

Mangsa didiagnos dengan beberapa abses otak dan penyakit berkaitan. Pemeriksaan lanjut di Pusat Mata Kebangsaan Singapura menunjukkan bahawa kedua-dua matanya juga sangat kabur.

Anak lelaki mangsa membuat aduan polis pada Januari tahun lepas, bahawa pembantu rumah itu memuatnaik satu rakaman video yang menunjukkannya memandikan mangsa di TikTok.

Telefon bimbit pembantu rumah itu dirampas, dan rakaman video dalam telefon itu menunjukkan tertuduh memandikan mangsa.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya 18 bulan, dengan mengatakan bahawa mangsa ialah seorang individu yang memerlukan bantuan, dengan "penglihatan pada kedua-dua matanya amat lemah".

Keadaan mangsa yang bogel di dalam semua rakaman video boleh dikenal pasti dengan jelas, seperti mana dapat dikesan anaknya untuk membuat aduan kepada polis selepas melihat satu rakaman video.

Pihak pendakwa juga menekankan faktor-faktor lain yang memburukkan keadaan termasuk kesalahan-kesalahan itu berlaku di rumah mangsa itu sendiri, video TikTok itu tular dan ia tidak diketahui sama ada rakaman video yang dihantar melalui WhatsApp sudah pun dihantar kepada orang-orang lain.

Pembantu rumah itu juga mencabuli kepercayaan sebagai seorang penjaga mangsa yang tinggal serumah, menurut pihak pendakwa. Beliau mengakui "tertuduh tidak berniat jahat dan benar-benar berasa kesal menurut pengakuan bersalahnya," namun, tidak boleh diketepikan bahawa mangsa "rasa amat malu dan terhina akibat perbuatan tertuduh".

Sumber : CNA/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan