Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembantu rumah dihukum penjara 6 bulan; gigit lengan bayi kerana tidak mahu tidur

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah dihukum penjara 6 bulan; gigit lengan bayi kerana tidak mahu tidur

(Gambar: sippakorn yamkasikorn/Unsplash)

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah yang digajikan untuk menjaga sepasang bayi kembar menggigit salah seorang daripada mereka kerana bayi itu tidak mahu tidur.

Masita Khoridaturochmah, 33 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan pada Selasa (4 Apr) atas satu kesalahan menganiaya bayi dengan sengaja sehingga menyebabkan kesakitan fizikal.

Butiran tentang mangsa dan tempat kejadian digugurkan daripada dokumen mahkamah atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Tertuduh cuba membuat bayi kembar itu tidur namun hilang sabar terhadap salah seorang daripada bayi kembar itu selepas kira-kira setengah jam kerana dia merasakan mangsa melengahkan dia memasak makan malam.

Pada sekitar pukul 6.30 petang, dia menggigit bayi itu sekali pada tangan kiri, menyebabkannya menjadi lebam.

IBU MANGSA NAMPAK KESAN LEBAM

Ibu mangsa ternampak kesan lebam dalam bentuk tanda gigit pada lengan bayi itu.

Wanita tersebut mengesyaki Masita menggigit anaknya dan menanyakan hal tersebut kepadanya. Masita bagaimanapun menafikannya. Pada mulanya dia menafikannya tetapi akhirnya mengaku berbuat demikian.

Dia melutut dan meminta maaf dan ibu mangsa melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Hakim Daerah Tan Jen Tse berkata, tidak dapat dipertikaikan bahawa pencegahan adalah pertimbangan paling utama dalam kes-kes seperti ini.

"Bagi kes penderaan kanak-kanak yang tidak membawa maut melibatkan keganasan fizikal, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya selama enam bulan. Sejak itu, parlimen juga menggandakan hukuman terhadap kes sedemikian rupa di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Masita melakukan kesalahan itu kerana hilang sabar dan dia menyesali perbuatannya itu sejurus kemudian.

Hakim Tan meluluskan permintaan Masita untuk menangguhkan hukuman penjara selama seminggu untuk menghubungi keluarganya di Indonesia bagi membuat persiapan untuk dia pulang ke negara asalnya selepas menjalani hukuman tersebut.

Atas kesalahan mendera kanak-kanak dengan sengaja menyebabkan kesakitan fizikal, dia boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga S$8,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan