Skip to main content

Singapura

Pembantu rumah didenda kerana gaduh dengan amah lain di Paya Lebar gara-gara video TikTok

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah didenda kerana gaduh dengan amah lain di Paya Lebar gara-gara video TikTok

(Gambar: Facebook/Eunhee Elysium)

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah didenda S$1,000 (AS$764) oleh mahkamah pada Selasa (20 Ogos) kerana bergaduh dengan pembantu rumah lain berdekatan Stesen MRT Paya Lebar.

Sriani, seorang rakyat Indonesia berusia 46 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan pergaduhan berkait insiden yang melibatkan dua kumpulan yang terdiri daripada lima pembantu rumah pada 19 Mei.

Pertelingkahan berkenaan tercetus kerana Sriani memuat naik video di TikTok, menghina tertuduh bernama Sulastri, 44 tahun.

Disebabkan itu, kedua-dua kumpulan pembantu rumah tersebut tidak mempunyai hubungan baik.
Mahkamah diberitahu bahawa Sriani dan empat lagi pembantu rumah rakyat Indonesia bekerja dengan keluarga yang berbeza di Singapura.

Sriani berkawan dengan tertuduh bersama Maesorah, 35 tahun, sementara tiga wanita lain daripada kumpulan kedua, terdiri daripada Sulastri, 44 tahun, Nita Widia Rahayu, 34 tahun dan Siti Rukayah Kusni, 47 tahun.

APA YANG BERLAKU

Pada pagi 19 Mei, Sriani minum beberapa minuman keras di sebuah pesta. Kira-kira pukul 2.00 petang, dia tertidur dekat satu sudut bersebelahan kedai di Paya Lebar Square.

Dia berada di sana bersama Maesorah dan sebilangan rakan-rakan lain di tempat mereka seringkali beriadah bersama.

Sementara itu, Sulastri, Siti, Nita dan empat wanita yang lain yang tidak dikenal pasti, sedang berhimpun di Kompleks Tanjong Katong.

Siti mencadangkan untuk ke Paya Lebar Square untuk bersemuka dengan Sriani berhubung catatan di TikTok itu.

Kumpulan itu tiba di sana kira-kira pukul 2.40 petang dan mendapati Sriani sedang tidur. Dia terjaga daripada tidurnya apabila ditendang.

Pertengkaran tersebut berlaku, diikuti dengan pergaduhan yang melibatkan Sriani, Sulastri, Siti, Nita dan rakan Sriani, Maesorah.

Pertelingkahan itu disaksikan kira-kira 50 orang awam lain, kata pihak pendakwaan, dan seorang daripada mereka menghubungi pihak polis.

Kesemua lima pembantu rumah itu diberkas dan didakwa.

Menurut para peguam, tiada rekod jenayah bagi kesalahan bergaduh.

Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk bertanya sama ada permit kerja pembantu-pembantu rumah yang terlibat akan ditarik balik.

Hukuman bagi kesalahan bergaduh adalah penjara sehingga setahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita