Skip to main content

Singapura

Pembantu rumah diberkas setelah bayi alami kelecuran

Seorang pembantu rumah diberkas setelah anak majikannya dikesan mengalami kelecuran di tangan kirinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah diberkas setelah bayi alami kelecuran
Diterbitkan : 22 Jan 2020 11:28PM Dikemas Kini : 22 Jan 2020 11:29PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah diberkas setelah anak majikannya dikesan mengalami kelecuran di tangan kirinya.

Menurut pihak polis pada Rabu (22 Jan), pihaknya dimaklumkan mengenai kes sengaja menyebabkan kecederaan dengan melakukan perbuatan berbahaya pada Rabu lalu, waktu pagi.

Insiden itu berlaku di Blok 992B Buangkok Link, dan seorang wanita berusia 30 tahun diberkas.

Bercakap kepada saluran berita Cina 8World, bapa bayi berusia 16 bulan - yang tidak ingin mendedahkan identitinya - berkongsi tentang insiden itu.

Beliau tidak berada di rumah pada Selasa lalu apabila beliau mendapat panggilan telefon daripada anak perempuan sulungnya. Anaknya, yang berusia lapan tahun memberitahu adik perempuannya mengalami kelecuran dan sedang meraung.

Pada awalnya, beliau memberitahunya agar menunggu sehingga beliau pulang ke rumah dan menggunakan ubat terdahulu, tetapi setelah 10 minit, dia menelefon sekali lagi dan memberitahu bahawa adiknya masih menangis. Oleh itu, beliau segera pulang ke rumah.

"Apabila saya pulang ke rumah, saya terkejut, kerana ia begitu serius," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak pernah melihat kelecuran seteruk itu.

Beliau membawa bayinya ke sebuah klinik berdekatan, yang merujuknya ke Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) kerana kelecuran tersebut amat serius.

"Saya serta merta membawanya ke sana. Doktor itu berkata: 'Ini adalah kelecuran tahap dua, ia agak serius," menurut ayahnya.

Beliau menggambarkan bagaimana anak perempuannya melepuh dan kulitnya kelecuran di tangan kirinya, dan memerlukan graf kulit bagi mencegah kelecuran itu menjejas keupayaan tangannya.

Keesokan harinya, lelaki tersebut dan isterinya sedang menghantar anak sulungnya ke sekolah, apabila mereka mendapat tahu bahawa pembantu rumah mereka sudah mengemas barangannya.

"Dia memberitahu saya bahawa dia ingin pulang, dia tidak mahu bekerja lagi," katanya.

Bagaimanapun, mereka menjadi curiga dan memutuskan untuk memeriksa rakaman CCTV untuk melihat apa yang berlaku.

"Apabila saya melihat rakaman CCTV, kami terkejut... kami tidak sanggup untuk melihatnya, kerana ia terlalu (perit untuk melihat)," katanya.

Beliau berkongsi bahawa pembantu rumah itu memegang tangan anaknya dan memasukkannya ke dalam periuk panas, sebanyak empat kali.

Pasangan itu kemudian membuat aduan polis.

Sementara menunggu pihak polis, mereka bertanya pembantu rumah tersebut sebab dia melecurkan tangan anak mereka. Apabila ditanya, beliau mendakwa bahawa pembantu rumah tersebut menjelaskan bahawa ia kerana dia mahu pulang.

Siasatan polis masih berterusan.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita