Pembantu guru dihukum penjara 42 tahun, rotan kerana dera 11 budak lelaki

(Gambar: Jeremy Long/CNA)
SINGAPURA:Selama lebih tujuh tahun, seorang pembantu guru di pusat jagaan selepas sekolah mendera 11 budak lelaki berusia sembilan hingga 13 tahun secara seksual.
Lelaki itu, yang kini berusia 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan maksimum mengikut undang-undang, pada Isnin (22 Ogos), selepas dia mengaku bersalah atas enam tuduhan melakukan serangan seksual yang lebih teruk.
Sebanyak 54 lagi tuduhan, termasuk rogol yang teruk dan kesalahan seksual lain, dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Nama pesalah dan pusat jagaan selepas sekolah terbabit tidak boleh disiarkan kerana boleh membawa kepada mangsa dikenalpasti, yang dilindungi di bawah arahan mahkamah.
"Ini adalah salah satu kes penderaan seksual pedofilik terburuk terhadap kanak-kanak lelaki yang telah dihadapkan ke mahkamah," kata pendakwa kepada mahkamah.
LATAR BELAKANG KESALAHAN
Lelaki itu menghabiskan masa sekolah rendahnya di pusat tersebut dan terus datang ke situ semasa di sekolah menengah dan menjalani Perkhidmatan Negara (NS), apabila dia akan membawa makanan dan minuman, dan bermain bola keranjang dengan bekas pelajar.
Selepas NS pada 2012, dia mula datang empat hingga lima kali seminggu dan membantu menyemak kerja rumah pelajar di pusat itu.
Pada 2013, lelaki itu diberi elaun bulanan S$100 kerana membantu di pusat itu. Ini dinaikkan secara beransur-ansur kepada S$900 menjelang Julai 2020.
Tugas lelaki itu termasuk membantu pelajar membuat kerja rumah, menemani mereka semasa keluar dan pentadbiran am.
Dia juga diamanahkan dengan satu set kunci ke pusat dan mempunyai akses tanpa had kepadanya.
Penderaan seksual lelaki itu terhadap kanak-kanak lelaki tersebut berlaku dari separuh kedua 2013 hingga dia ditahan pada Ogos 2020, ketika berusia 28 tahun.
Dia akan mendapat kepercayaan budak lelaki itu dengan membelikan mereka hadiah, termasuk kredit permainan telefon bimbit dan membawa mereka keluar untuk makan dan aktiviti riadah.
Kesalahan itu terbongkar melalui petunjuk daripada pegawai penguatkuasa undang-undang Australia pada April 2020.
Pasukan Bersama Anti Eksploitasi Kanak-Kanak Australia Selatan memaklumkan Pasukan Polis Singapura bahawa akaun e-mel yang dipautkan kepada pesalah telah menerima sekurang-kurangnya 17 e-mel dengan pautan untuk memuat turun pornografi kanak-kanak.
Polis menyerbu rumah lelaki itu pada Ogos 2020 dan menahannya. Dia dibebaskan dengan jaminan polis dan ditahan pada 9 Dis 2020.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu disahkan menghidap gangguan pedofilik dan didapati mempunyai risiko sederhana hingga tinggi untuk melakukan kesalahan semula, terutamanya tanpa pengawasan dan pemantauan yang rapi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.