Pembangunan holistik pelajar diiktiraf dalam Anugerah Khas MOE 2026, jumlah rekod anugerah dicatat
Auni Tan Zaki Tan Abdullah (kiri) dan Faiq Faran (kanan) antara 202 penerima Anugerah Khas MOE tahun ini (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Majlis tersebut berlangsung pada Isnin (31 Ogos) di Pusat Budaya Universiti di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Majlis itu meraikan pencapaian 202 pelajar sekolah rendah, menengah dan pra-universiti menerusi 11 kategori anugerah.
AUNI TAN PUNYA RASA TANGGUNGJAWAB LESTARI BAHASA DAN BUDAYA
Antara penerima anugerah di majlis tersebut ialah Auni Tan Zaki Tan Abdullah yang menerima Hadiah Buku Perdana Menteri.
Auni diberikan anugerah tersebut atas pencapaiannya dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris.
"Saya banyak dipengaruhi oleh keluarga dan guru-guru saya terutamanya Cikgu Ain, Cikgu Yati, Cikgu Ali dan Cikgu Malek yang telah banyak memberi saya peluang untuk menceburi banyak bidang-bidang dalam bahasa dan budaya Melayu. Sebagai contoh, mereka telah menyokong saya untuk mencuba untuk memasuki pertandingan pidato, bahas dan penulisan dan juga banyak lagi. Jadi daripada situ minat saya dalam bahasa dan budaya Melayu tercetus," kata bekas penuntut Institusi Raffles (RI) itu.
Berpegang teguh kepada kata-kata gurunya untuk tidak 'melukut di tepi gantang', Auni giat melibatkan diri dalam acara-acara bahasa dan kebudayaan Melayu.
Bagi tiga tahun beturut-turut, Auni berjaya merangkul pingat emas dalam pertandingan penulisan nasional Pena Emasku dari tahun 2020 hingga 2022.
Dia juga menjuarai sebuah pertandingan puisi Melayu anjuran Persatuan Rakyat (PA) pada tahun 2020 dan 2021.
Auni juga berasa satu tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat.
Ini dilakukannya dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memperkenalkan budaya Melayu kepada rakan-rakan sekolahnya ketika dia menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Melayu RI.
Auni juga pernah mengendalikan sebuah bengkel tarian Melayu bagi murid-murid sekolah rendah.
"Saya rasa bahawa ia penting untuk anak muda memperkenalkan bahasa dan budaya Melayu kepada anak-anak muda yang lain kerana kita sendiri tahu apa yang membuat mereka lebih terdorong untuk mempelajari lebih tentang bahasa dan budaya Melayu. Jadi sebagai contoh, kita boleh memperkenalkan bahasa dan budaya Melayu melalui inisiatif-inisiatif yang menggunakan media sosial untuk menarik minat anak muda Melayu kita hari ini. Bagi saya, ia bukan sahaja tanggungjawab kita untuk mewarisi budaya dan bahasa Melayu tetapi untuk memastikan bahawa ia kekal relevan," ungkapnya.
Selain penguasaan bahasa Melayu, Auni juga sangat fasih berbahasa Inggeris.
Auni pernah menjadi Timbalan Ketua Bahas Inggeris, di mana dia memimpin pasukannya ke peringkat separuh akhir pertandingan debat nasional.
Dia juga berjaya mengecapi gelaran pembahas terbaik dalam beberapa pusingan dalam pertandingan tersebut.
Kini, Auni mengejar ijazah sarjana muda di NUS dalam bidang perundangan.
LIKU-LIKU MENGEJAR PENDIDIKAN TIDAK MENJADI PENGHALANG BAGI FAIQ FARAN
Seorang lagi penerima anugerah di majlis yang sama ialah Faiq Faran yang menerima Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian Cemerlang dalam Pelbagai Bidang.
Empat anugerah diberikan setiap tahun, dengan seorang pelajar daripada setiap satu daripada empat kumpulan berikut – Kolej Rendah/Institut Millennia, ITE, politeknik, dan universiti.
Perjalanan Faiq untuk mendapatkan pendidikan yang diinginkan bukan mudah.
Apabila Faiq kembali ke Singapura setelah tiga tahun menetap di Arab Saudi, dia menghadapi kesukaran memasuki sekolah menengah kerana Faiq tidak mempunyai sijil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Namun, setelah menduduki peperiksaan khas dan akhirnya diterima masuk ke sekolah menengah, Faiq membuktikan kesungguhannya untuk melanjutkan pengajiannya dengan mencapai prestasi baik dalam pelajarannya.
Faiq berjaya menghabiskan pengajarannya di sekolah menengah sebagai pelajar terbaik Peringkat 'N'.
Dia kemudian meneruskan pengajian di Politeknik Republik, di mana dia meraih GPA 3.94, iaitu GPA hampir penuh.
"Bagi saya, pendidikan boleh mengubah kehidupan kita. Walaupun pada awalnya saya ada banyak cabaran, saya tidak membiarkan cabaran itu menghentikan atau menghalang masa depan saya dan dengan sokongan oleh keluarga dan juga guru-guru, saya terus berusaha dan percaya bahawa jika kita tidak berputus asa, insya-Allah akan ada jalannya untuk melangkah ke hadapan," ujarnya penuh kesungguhan.
Dalam mengejar pendidikan yang diinginkan, Faiq tetap tidak melupakan mereka yang memerlukan.
Antaranya, dia mempengerusikan cabang belia di Masjid Petempatan Melayu Sembawang yang menganjurkan aktiviti kemasyarakatan seperti membersihkan pantai.
Dia juga membimbing lebih 20 belia untuk menjalankan kegiatan-kegiatan bagi golongan cacat penglihatan.
Ini selain aktiviti ukhrawi seperti Qiyamullail di masjid.
"Saya percaya semua peluang dan juga pencapaian yang saya ada hari ini adalah atas sokongan dari keluarga dan juga orang-orang sekeliling saya dan dengan itu saya rasa adalah wajar untuk saya memberi kembali kepada masyarakat dan juga menolong orang orang yang memerlukan," katanya lagi.
PEMBANGUNAN HOLISTIK PELAJAR DIPERLUKAN
Kesemua anugerah dalam majlis tersebut disampaikan oleh Menteri Negara Kanan Pendidikan, Dr Janil Putucheary.
"Anugerah Khas ini mengingatkan kita tentang tujuan pendidikan, apa itu pendidikan. (Para pelajar) harus mencapai prestasi baik dalam akademik, tetapi mereka juga harus membangun secara keseluruhan - membangunkan perwatakan, menemui kekuatan, membina daya tahan dan mencari cara untuk menyumbang sebagai satu rakyat yang bersatu," kata beliau.
"Kita mahu golongan muda berjaya, tetapi juga berbuat baik. Kita mahu mereka menemui kekuatan mereka, tetapi juga memahami keperluan orang lain. Kita mahu mereka yakin dengan ilmu pengetahuan dan teknologi, tetapi juga berakar umbi dalam nilai, masyarakat dan tujuan," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.