Pembangunan Geylang Serai bukan sahaja pada prasarana tapi juga dari segi budaya, kegiatan: Maliki
SINGAPURA: Projek Jalur Budaya Geylang Serai mempamerkan semangat kental masyarakat Melayu selepas mengharungi COVID-19 bukan sahaja dari aspek infrastrukturnya tetapi juga program-program budaya dan warisan yang diadakan pasca pandemik.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa projek tersebut berkongsi pandangan itu kepada BERITA Mediacorp selepas ucapan bahasa Melayu Rapat Umum Hari Kebangsaan 2023 dibentangkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Dalam ucapannya itu, PM Lee berkata bahawa projek Geylang Serai itu mencerminkan masyarakat Melayu yang kembali bertenaga dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.
"Jika kita lihat proses Jalur Budaya Geylang Serai ini, ia memaparkan kesediaan masyarakat kita untuk maju ke hadapan," kongsi Dr Maliki.
"Ia menunjukkan semangat kekentalan kita selepas kita menghadapi COVID. Bagaimana kita bersedia walaupun dalam keadaan COVID untuk bekerja keras bagi membangunkan Anjung, dan bekerja keras untuk melihat apakah aspek-aspek pembaharuan yang dapat kita berikan kepada Jalur Budaya Geylang Serai," tambah beliau.
Sejak dibuka, Anjung menjadi hab untuk kegiatan sukan dan kemasyarakatan dan sudah menarik lebih 100,000 peserta dan pengunjung.
Secara keseluruhan, pembangunan projek Geylang Serai menurut Dr Maliki, bukan sahaja pada infrastrukturnya sahaja tetapi juga kegiatan-kegiatan yang dianjurkan.
"Kita lihat pembangunannya bukan dari segi aspek infrastruktur sahaja tetapi kita akan mengadakan program-program budaya, warisan dan sebagainya. Ia menunjukkan kesediaan masyarakat kita untuk maju ke hadapan melihat cabaran sebagai sesuatu yang boleh kita hadapi bersama," ujar Dr Maliki.
WAJAR BANTU GOLONGAN PENCARI KERJA TANGANI TEKANAN KEWANGAN
Ini termasuk menggalak rakyat mempertingkatkan kemahiran mereka dan untuk itu, PM Lee mengumumkan bahawa pemerintah akan memperkenalkan satu skim baharu untuk tawarkan sokongan kewangan sementara buat mereka yang diberhentikan kerja dan semasa mereka pertingkatkan kemahiran.
Berhubung skim sokongan kewangan sementara itu, Dr Maliki berkongsi bahawa ia menunjukkan keprihatinan pemerintah terhadap golongan tersebut.
"Kita akur bahawa jika mereka kehilangan pekerjaan dan ingin mendapatkan pekerjaan baru, seringkali kita menggalakkan mereka untuk meningkatkan kemahiran mereka," menurut Dr Maliki.
"Namun mereka mengatakan bahawa kalau mereka mengikuti kursus-kursus itu, mungkin pendapatan akan berkurangan, lantas mereka memerlukan sokongan," tambahnya lagi.
"Kita akan memberi sokongan supaya mereka rasa bahawa ada keseimbangan dari segi meningkatkan diri mereka dan juga keperluan seharian mereka untuk menampung keluarga mereka," ujar Dr Maliki.
Para pemimpin 4G akan berkongsi lebih lanjut tentang skim itu, apabila mereka menggulung gerakan Forward SG nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.