Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembahas SG & Brunei saling berkongsi ilmu, kenali budaya antara negara dalam Bahas Muhibbah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bahas boleh menjadi wadah bagi mengasah penggunaan bahasa, menggalak pemahaman lebih baik tentang budaya dan tradisi antara negara.

Itu yang berjaya dicapai menerusi penganjuran Bahas Muhibbah 2023 yang menggabungkan 12 pendebat dari Singapura dan Brunei Darussalam.

Mauduk "Pendidikan inklusif ialah impian yang boleh dicapai" berjaya ditegakkan barisan pencadang dalam bahas persahabatan itu yang berlangsung pada Sabtu (9 Dis) di Brunei Darussalam.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Piala Pembahas Terbaik pula dimenangi pembahas dari Singapura, Khadiijah Mazalan.

Bahas persahabatan dan program pertukaran budaya itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan The Curious Playgrounds dari Brunei.

Ia juga merupakan peluang berharga bagi para pembahas dari dua negara itu berkongsi ilmu.

RAIH BANYAK PENGALAMAN BAHARU

Seramai lima pembahas dari Singapura menyertai Bahas Muhibbah 2023 termasuk Noor Aisyah Jofri, 18 tahun.

"Cara mereka (pembahas Brunei) melontarkan idea lain daripada kita. Mereka lebih spontan berbanding kita kerana kita perlu mengkaji betul-betul tetapi mereka boleh berbual sahaja dan berfikir dengan pantas," kongsi Aisyah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Melalui Bahas Muhibbah ini, kami dapat meraih lagi banyak pengalaman dan dapat melihat strategi-strategi, terutama sekali strategi yang digunakan oleh negara lain untuk perbahasan mereka," tambah pelajar Politeknik Ngee Ann itu.

Gambar: 4PM

Topik perdebatan itu juga mencabar para pelajar bagi meneroka dan membandingkan sistem-sistem pendidikan di luar negara serta melihat perspektif yang lebih bersifat global.

Malah, Aisyah berkongsi bahawa gabungan itu turut membuka matanya kepada perspektif yang baharu dan yang dapat beliau pelajari daripada peserta Brunei.

"Pada permulaannya, saya berfikir bahawa mauduk pendidikan inklusif itu merujuk kepada kanak-kanak berkeperluan khas sahaja, tetapi apabila berkomunikasi dengan peserta Brunei, kami dapat tahu ia lebih daripada itu," ujar Aisyah.

TONJOLKAN SIKAP SALING MEMBANTU
 

Begitu juga dengan para pembahas dari Brunei seperti Raudhatul Afifah, 19 tahun yang juga meraih pelbagai pengalaman dan pengetahuan daripada pembahas Singapura.

"Peserta dari Singapura berfikir di luar kotak dan mereka juga ada banyak idea untuk dicurahkan dan memandangkan kebanyakan peserta kita dari Brunei (berbahas) buat pertama kali, jadi mereka dari Singapura yang menolong menunjuk ajar dan menyokong kami," kongsi Raudhatul.

"Saya (juga) dapat pelajari banyak daripada Bahas Muhibbah ini seperti membina keyakinan diri saya, berfikir secara kritis dan sentiasa bersedia," tambahnya.

Para pembahas juga mendapat bimbingan daripada para akademik dari Universiti Brunei Darussalam dan mentor Bahas 4PM.

"Salah satu perkara yang saya rasa tidak dapat dielakkan ialah penggunaan istilah-istilah yang berbeza. Jadi ia menjadi satu wadah untuk kita pelajari daripada satu sama lain. Satu contoh yang saya (perhatikan), kedua-dua pihak memberikan satu hujahan menggunakan akronim 'K'. Pihak pencadang menggunakan perkataan 'Kos', pihak penyanggah pula menggunakan istilah 'Kewangan'. (Ia) Sama tetapi penggunaan istilah itu yang berbeza. Jadi ia menjadikan perbahasan itu sangat menarik dan berwarna-warni," kongsi Presiden 4PM, Nassar Mohamad Zain.

PRESTASI MEMBANGGAKAN BAGI PARA PESERTA

Malah, menurutnya lagi, prestasi para pembahas Singapura amat membanggakan di mana mereka berbahas dengan "bersungguh-sungguh dengan penuh keyakinan" serta melakukan kajian yang mendalam dan meluas.

Namun, apa yang lebih membanggakan baginya ialah sikap saling membantu yang ditunjukkan pembahas dari kedua-dua negara.

"Kali ini, kita mendapati bahawa kesantunan mereka lebih terserlah lagi kerana kita mendapati bahawa cara peserta Brunei Darussalam berbual dan bergaul sangat sopan dengan tatasusila mereka yang amat berbeza dengan cara kita di Singapura. Jadi, dengan secara tidak langsung, kita mendapati bahawa para peserta kita juga macam terikut-ikut juga dan lebih santun dan berbual dengan lebih halus sedikit jadi itu yang saya mendapati sangat menarik dalam perjumpaan kedua-dua negara ini," ujar Encik Nassar.

PEMBAHAS SG CUBA AMBUYAT

Gambar: 4PM

Dalam kesempatan itu, para delegasi Singapura juga berpeluang untuk menyertai relawan Brunei dan ASEAN dalam pelancaran Hari Bertindak Brunei Darussalam sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa.

"Perbahasan menjadi platform yang luar biasa untuk golongan muda berbincang tentang isu-isu yang diketengahkan sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa kerana ia membolehkan pemuda untuk berkongsi pandangan serta idea-idea baharu," kongsi Pengasas The Curious Playgrounds, Hamlatul Arsy Mulia.

Paling kiri: Presiden 4PM, Nassar Mohamad Zain, Tengah: Pengasas The Curious Playgrounds, Hamlatul Arsy Mulia. (Gambar: 4PM)
"(Ia) juga dapat menjadi wadah yang sangat berharga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sesuatu isu atau topik kerana ia membolehkan pertukaran pandangan dari pelbagai sudut yang berbeza. Apabila individu yang pakar atau terlibat secara mendalam dalam isu tersebut berdebat, mereka memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat isu tersebut dari perspektif yang lebih mendalam," tambahnya.

Sepanjang program itu juga, para peserta dapat mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan budaya untuk memahami warisan negara Brunei Darussalam.

Ia antaranya melawat Lamin Warisan di Tutong untuk pengalaman budaya, menyaksikan pameran tarian tempatan serta peluang untuk mencuba makanan tradisi khas negara itu iaitu Ambuyat.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan