Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembaharuan sistem keadilan keluarga mudahkan prosiding, cegah pertikaian sengit

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang mengkaji cara-cara untuk membuat prosiding keluarga di mahkamah "kurang sengit", lebih mudah dan cekap dengan beberapa perubahan perundangan dijangkakan pada lewat tahun ini, menurut Kementerian Undang-undang (MinLaw) hari ini (3 Mac).

MinLaw sedang bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta
Mahkamah Keadilan Keluarga berhubung perubahan tersebut. Ia termasuk menambah baik proses menguatkuasakan pembayaran perintah nafkah.

Proses baru ini akan menggunakan "pendekatan penyiasatan" di mana pihak mahkamah akan terlibat secara aktif untuk menyiasat fakta kes, berbanding sebuah sistem di mana peranan utama mahkamah adalah untuk bertindak selaku pengadil yang tidak berat sebelah.

Ketika mengumumkan langkah tersebut di Parlimen, Menteri Kedua Undang-undang Edwin Tong berkata: "Sebagai contoh, pihak penguat kuasa menghadapi kesukaran untuk memastikan kedudukan kewangan pihak lain. Ini bukan sesuatu perkara luar biasa".

"Kami akan memberi kuasa kepada mahkamah untuk menyoal pihak-pihak terlibat dan mendapatkan maklumat secara langsung. Ini akan membantu memudahkan proses dan menjadikannya lebih cekap."

Encik Tong menambah bahawa pihak berkuasa juga sedang mempertimbangkan “mekanisme penguatkuasaan tambahan” untuk mengukuhkan pematuhan.

Perubahan undang-undang dijangkakan pada lewat tahun ini untuk melaksanakan beberapa peningkatan tersebut.

MEMUDAHKAN PENGUATKUASAAN PENGHAKIMAN SIVIL

Sebagai sebahagian daripada usaha bagi meningkatkan sistem undang-undang, Encik Tong juga menggariskan perubahan berpotensi untuk memudahkan dan menyelaraskan penguatkuasaan penghakiman sivil.

Saranan yang dipertimbangkan termasuk "memperkenalkan kuasa baru untuk mengenakan hukuman serta menghalang" ketidakpatuhan perintah mahkamah.

Jika sesebuah pihak masih lagi gagal mematuhi perintah, mahkamah mungkin akan diberikan lebih banyak kuasa bagi mengesan serta menjejaki aset pihak berkenaan untuk menyelesaikan hutang.

Perubahan sedemikian, untuk memperhalusi penguatkuasaan, akan memberi manfaat secara khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta pihak-pihak yang membuat tuntutan, kata Encik Tong.

PERKUKUH TENAGA KERJA UNTUK INDUSTRI UNDANG-UNDANG

Bagi menyokong pembangunan profesional berterusan untuk para peguam, MinLaw juga menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Persatuan Undang-undang Singapura untuk meneroka program peminjaman seluruh industri buat peguam.

MinLaw menambah ia sedang bekerjasama dengan mahkamah dan pihak berkepentingan untuk "menyemak semula pendidikan dan latihan" mereka yang berada di dalam industri tersebut untuk mempersiapkan mereka dengan lebih baik bagi memenuhi keperluan sektor yang pesat berkembang.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan