Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pembaharuan jagaan kesihatan seterusnya berhasrat bantu warga emas jalani hidup dalam masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bidang pembaharuan yang besar seterusnya bagi sistem jagaan kesihatan adalah dalam memastikan warga emas boleh terus menjalani kehidupan mereka sepenuhnya dalam masyarakat.

Ini di samping menangani andaian bahawa mereka akan selalu jatuh sakit dan berada dalam keadaan lemah, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Rabu (5 Okt).

Mengulas perbahasan dua hari berhubung Kertas Putih bagi skim SG Lebih Sihat, Encik Ong berkata Singapura perlu menangani secara langsung cabaran masyarakat yang kian menua, yang mempunyai natijah jangka panjang dalam pelbagai aspek lain kehidupan mereka seperti pendidikan, tenaga manusia dan prasarana.

Beliau menarik perhatian bahawa menjelang 2030, sekitar satu daripada empat rakyat Singapura akan mencecah usia 65 tahun ke atas, naik dari satu daripada enam sekarang ini.

Dalam menangani cabaran ini, Encik Ong bagaimanapun memberi amaran terhadap langkah yang secara automatik bergantung kepada jagaan khusus seperti di rumah-rumah jagaan, dan memberi amaran tentang bagaimana rasa bersendirian itu boleh membahayakan kesihatan warga emas.

Encik Ong berkata dalam kalangan mereka yang mencecah usia senja, "beban dan penderitaan penyakit yang memuncak tidak semestinya sesuatu yang benar-benar akan berlaku".

Masyarakat boleh melengahkan keprihatinan kesihatan seperti bermulanya penyakit kronik dan keadaan kian lemah kepada usia yang lebih lanjut, sekiranya langkah-langkah aktif diambil untuk terus kekal sihat, kata beliau.

"Pemerintah akan membuat perubahan dasar dan membuat pembaharuan kepada sistem bagi membantu individu-individu mencapainya," tambah beliau.

Encik Ong juga berkata bahawa masyarakat mesti berwaspada tentang andaian bahawa warga emas akan "selalu jatuh sakit dan berada dalam keadaan lemah", dan tidak berupaya menjaga diri mereka sendiri kerana ia akan menjadikan cabaran bilangan penduduk yang kian menua bertambah buruk.

Pemikiran sedemikian mungkin menyebabkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah tertentu atas sebab prihatin terhadap warga emas - seperti memberitahu mereka untuk tidak memasak jika mereka mungkin akan terus membiarkan api menyala dan tidak menggalakkan mereka keluar rumah jika mereka pernah jatuh.

Namun tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan kekurangan kegiatan fizikal bagi warga emas, hilang rasa kawalan dan maruah diri, tambah Encik Ong.

"Kita mahu melindungi mereka tetapi kita tidak mahu mendedahkan mereka secara tidak sengaja kepada risiko pengasingan dan rasa bersendirian yang lebih besar. Itulah masanya semangat mereka mula luntur dan tubuh mereka pula kian melemah," kata Encik Ong.

Jika pemikiran sedemikian terus dipupuk, warga emas akan menjadi "masalah yang perlu dikawal dan dipinggirkan" seperti dalam rumah-rumah jagaan, kata beliau.

Bagi masyarakat kian menua seperti Singapura, Encik Ong berkata sistem jagaan warga emas "sama pentingnya" dengan dua lagi komponen sistem jagaan kesihatan secara keseluruhannya, iaitu sistem kesihatan awam - yang mana SG Lebih Sihat mahu pertingkatkan - dan sistem kesihatan akut.
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan