Pemasangan unit ERP 2.0 akan bermula dengan kenderaan syarikat dari 1 Nov; pengguna jalan raya boleh pilih untuk tidak pasang paparan skrin sentuh
Kenderaan-kenderaan tersebut termasuk bas, kenderaan barangan, teksi dan motosikal, yang didaftar kepada sebuah pertubuhan.
Sistem ERP baharu itu, yang dikenali sebagai ERP 2.0, akan berlandaskan sistem satelit dan mampu mengesan sama ada sesebuah kenderaan berada dalam kawasan yang sesak.
Meskipun ERP 2.0 mempunyai keupayaan untuk menyokong pembayaran berdasarkan jarak menerusi sistem satelit pengemudian global, LTA menyatakan pada Isnin (23 Okt) bahawa ia tidak mempunyai "rancangan segera" untuk memperkenalkan pembayaran berdasarkan jarak.
Setiap OBU akan merangkumi tiga komponen: Unit pemprosesan, antena dan paparan skrin sentuh. Bagi motosikal, ketiga-tiga komponen itu akan disepadukan ke dalam satu unit sahaja.
Setelah mempertimbangkan maklum balas awam, LTA menjelaskan bahawa para pengguna jalan raya boleh memilih untuk tidak memasang paparan skrin sentuh, menurut agensi itu dalam satu kenyataan media.
Sesetengah pengguna jalan raya mengadu bahawa rekaan unit baharu tersebut agak besar dan tidak rapi apabila ia diumumkan buat pertama kalinya pada 2020.

Latihan OBU itu dijangka selesai menjelang hujung 2025. Butiran lanjut mengenai pemasangan bagi kenderaan individu akan diumumkan awal tahun depan.
Semua kenderaan berdaftar di Singapura - kecuali kenderaan yang wajib dimansuhkan pendaftarannya semasa tempoh pemasangan OBU itu - akan menerimanya secara percuma.
Pemasangan juga percuma jika pemandu melengkapkannya dalam tempoh dua bulan yang dinyatakan dalam surat, e-mel dan/atau pemberitahuan SMS.

PAPARAN SENTUH SKRIN ADALAH SATU PILIHAN, TETAPI "SANGAT DIGALAKKAN"
Semua kenderaan berdaftar di Singapura mesti mempunyai OBU baharu yang dipasang.
Para pengguna jalan raya "sangat digalakkan" untuk memasang semua tiga komponen OBU bagi mengakses "pelbagai ciri", seperti membayar tempat letak kereta di tepi jalan, kata LTA.
Para pengguna jalan raya yang enggan memasang paparan skrin sentuh itu juga masih boleh mengakses maklumat kunci OBU menerusi aplikasi yang serasi dengan telefon bijak mereka. Aplikasi tersebut termasuk aplikasi ERP 2.0 LTA atau aplikasi pihak ketiga lain yang disenaraikan di laman OneMotoring LTA.
Aplikasi telefon bimbit akan memaparkan butiran dari OBU seperti berikut: Makluman harga jalan, maklumat bayaran, maklumat mengenai status pembayaran, maklumat lalu lintas, baki dan status kad, serta penunjuk akaun pembayaran 'backend'.
Paparan sentuh skrin itu juga akan menyediakan para pengguna jalan raya dengan maklumat berkaitan ERP termasuk pembayaran ERP dan baki kad. Ia turut menyediakan kemas kini jalan raya dan lalu lintas, seperti lokasi "Silver Zone" atau Zon Warga Emas, Zon Sekolah, kamera kesan kelajuan dan lorong bas.
"Silver Zone" atau Zon Warga Emas adalah kawasan yang khususnya diperuntukkan di kejiranan perumahan yang mempunyai bilangan warga emas yang tinggi, di mana had kelajuan dikurangkan.
Semua pengguna jalan raya akan diberikan kesemua komponen unit tersebut.
Jika mereka pada mulanya enggan memasang paparan skrin sentuh tetapi kemudiannya berubah fikiran, mereka boleh mengunjungi bengkel yang disahkan untuk memasang paparan skrin sentuh itu, dengan kosnya ditanggung sendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.