Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemansuhan Seksyen 377A, pindaan lindungi takrif perkahwinan 'peristiwa penting' buat SG, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Pemansuhan Seksyen 377A, pindaan lindungi takrif perkahwinan 'peristiwa penting' buat SG, kata PM Lee

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 30 Nov 2022 02:08PM Dikemas Kini : 30 Nov 2022 02:19PM
SINGAPURA: Pemansuhan Seksyen 377A dan pindaan Perlembagaan bagi melindungi takrif perkahwinan daripada dicabar di mahkamah merupakan "peristiwa penting" buat Singapura.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (29 Nov).

Encik Lee berkongsi dalam satu catatan di akaun Facebooknya bahawa beliau "amat gembira" Parlimen meluluskan pindaan bagi dua Rang Undang-undang tersebut, iaitu pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan - diwarisi sejak dari zaman pemerintahan British - dan pindaan perlembagaan bagi takrif perkahwinan.
 
"Ia adalah peristiwa penting bagi Singapura. Hasilnya ketara sekali. Kita tidak lagi menyifatkan seks sesama lelaki suatu jenayah - isu yang berlarutan sejak sekian lama dan bukan saja untuk golongan gay warga Singapura," kata Encik Lee.

Pada masa yang sama, takrif perkahwinan - iaitu penyatuan antara seorang lelaki dengan seorang wanita - dilindungi daripada dicabar dari segi perlembagaan, tambah beliau.

"Secara tuntasnya, ini merupakan langkah-langkah yang seimbang dan bijaksana untuk mengorak ke hadapan."

Perbahasan berhubung kedua-dua Rang Undang-undang tersebut, yang diadakan serentak selama dua hari, berakhir pada Selasa (29 Nov). Pemansuhan Seksyen 377A diluluskan dengan 93 Anggota Parlimen (AP) menyokong pemansuhannya berbanding tiga AP yang menolaknya.

Pindaan perlembagaan bagi takrif perkahwinan daripada dicabar di mahkamah pula diluluskan dengan 85 AP menyokongnya berbanding dua yang menolaknya.

"Lebih penting lagi, kita mencapai keputusan ini secara bersama-sama - dengan tenang, secara bermuafakat dengan semua pihak saling bersedia untuk mendengar dan bertolak ansur demi mencapai hasil yang baik ini,"ujar Encik Lee.

Beliau menambah bahawa isu tersebut merupakan sebuah isu yang amat meninggalkan kesan dan sensitif, malah mampu memecahbelahkan masyarakat.

"Namun, kami tidak membenarkan ia memecahbelahkan kita. Sebaliknya, kita menanganinya dengan penuh bertanggungjawab dan berhemah sambil memastikan perpaduan bersama. Ia merupakan satu pencapaian besar."

Encik Lee turut menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada mereka yang sudah bertungkus-lumus selama beberapa bulan sehingga detik pemansuhan dan pindaan perlembagaan itu berlaku pada Selasa.

Beliau menambah bahawa sesi pendampingan berhubung isu tersebut sudah lama dimulakan sebelum ia diketengahkan semasa ucapan beliau sewaktu Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos lalu.

Ribuan peserta mengambil bahagian dalam banyak sesi dialog yang diadakan untuk memberi pandangan mereka, menyuarakan kebimbangan serta berkongsi harapan mereka tentang bagaimana masyarakat Singapura akan berkembang.

Encik Lee berkata para peserta berkongsi secara terbuka serta dengan ikhlas dan smaa-sama membantu mencapai kata sepakat di peringkat nasional mengenai langkah untuk maju ke hadapan dalam perkara ini.

"Cara bagaimana kita menangani isu sulit dan halus ini memberi saya keyakinan bahawa hasilnya akan diterima dengan baik," ujar Encik Lee sambil menambah bahawa isu-isu rumit lain sememangnya akan bangkit dalam tahun-tahun mendatang.

"Dengan semangat yang serupa, kita boleh menanganinya dengan berjaya sambil kekal bersatu padu sebagai sebuah rakyat."
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan