Pemansuhan 377A tidak bererti negara menentang unit keluarga, kebebasan beragama, jelas Pritam Singh
Ketua Pembangkan Pritam Singh berharap rakyat Singapura yang menentang pemansuhan 377A boleh mendekati isu tersebut dengan berkompromi dan menyesuaikan diri, sekalipun mereka mempunyai kepercayaan dan pegangan agama sendiri.
Ketua Pembangkang Pritam Singh berucap di Parlimen pada 28 November 2022.
Ketua Pembangkang Pritam Singh (WP-Aljunied) berkata demikian ketika menyuarakan pandangan peribadinya mengenai pemansuhan tersebut pada Isnin (28 Nov).
Perdana Menteri Lee Hsien Loong pertama kali mengumumkan di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos lalu tentang hasrat Pemerintah untuk memansuhkan Seksyen 377A iaitu undang-undang yang menetapkan hubungan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah.
Perkara itu dibincangkan dalam perbahasan di Parlimen pada Isnin bersama-sama dengan Rang Undang-undang lain untuk meminda Perlembagaan bagi melindungi takrif perkahwinan daripada dicabar di mahkamah.
Lebih 30 Anggota Parlimen (AP), Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dijangka berhujah mengenainya.
Encik Singh, yang pertama untuk berucap, juga berkata beliau sudah mengangkat whip parti bagi membolehkan AP WP yang tidak memihak kepada pemansuhan 377A untuk "mengundi dengan bebas".
"Pemansuhan 377A jelas tidak menandakan bahawa Singapura akan menjadi sebuah masyarakat yang lebih bebas. Apa yang dilakukannya adalah memberi ruang di tempat awam yang dikongsi bersama, untuk anggota masyarakat dalam keluarga Singapura tidak didiskriminasi kerana kecenderungan seksual mereka," jelasnya.
"Rakyat Singapura bebas untuk berpegang kepada kepercayaan mereka tentang homoseksualiti tetapi ini tidak seharusnya bercampur aduk dengan apa yang sah di sisi undang-undang dalam ruang awam kita. Begitu juga, penyokong langkah pemansuhan itu tidak mempunyai peranan untuk campur tangan dalam kepercayaan peribadi rakyat Singapura yang beragama."
DEKATI ISU MELALUI "KOMPROMI,
Encik Singh akur bahawa mengetengahkan homoseksualiti antara lelaki, khususnya, mengekalkan 377A dianggap sebagai tidak adil dan tidak saksama bagi golongan LGBTQ+ serta sebahagian besar rakyat Singapura.
Bagaimanapun, memansuhkan 377A akan "tanpa ragu-ragu menyebabkan keresahan, bahkan juga rasa marah, dalam kalangan rakyat Singapura yang percaya bahawa undang-undang kita mesti juga mencerminkan sikap-sikap budaya atau agama terhadap homoseksualiti", tambah beliau.
Encik Singh menambah beliau melihat keputusan untuk melindungi perkahwinan daripada dicabar dari segi perlembagaan sebagai sebuah institusi antara lelaki dengan wanita sahaja, melalui "lensa yang sangat sempit" - ia "melambangkan satu imbangan bagi memastikan masyarakat tidak kusut berhubung keputusan untuk memansuhkan 377A".
Beliau berharap rakyat Singapura yang menentang pemansuhan 377A boleh mendekati isu tersebut dengan berkompromi dan menyesuaikan diri, sekalipun mereka mempunyai kepercayaan dan pegangan agama sendiri.
"Dalam memansuhkan 377A, rakyat Singapura yang beragama tidak diminta untuk menyokong homoseksualiti tetapi sebaliknya, menghormati kesamarataan setiap warga Singapura di mata undang-undang, bahawa tiada orang dewasa seharusnya dianggap sebagai penjenayah disebabkan apa yang mereka bersetuju untuk melakukan secara tertutup," tambah Encik Singh.
PENDIRIAN WP TENTANG 377A
Encik Singh menarik perhatian bahawa pada tahun 2019, beliau mengatakan pendirian partinya, WP, berhubung 377A serupa dengan yang dipegang segenap rakyat Singapura, ketika menyampaikan ucapan kepada Persatuan Politik Universiti Nasional Singapura (NUS).
"Ia rencam dan pelbagai, dengan tiada kata putus tentang sama ada 377A sepatutnya dimansuhkan," ujar beliau.
Dalam ucapan yang sama, Encik Singh berkata golongan LGBTQ "tidak seharusnya dieksploitasi bagi tujuan politik".
Berhubung isu "perpecahan masyarakat dan nilai-nilai yang bercanggah", kami "tidak memerlukan anggota politik untuk dilihat sebagai menyebelahi mana-mana kumpulan tertentu", tambah Encik Singh.
Di sidang Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 6 November lalu, Perdana PM Lee menarik perhatian bahawa pihak pembangkang kadangkala "lenyap serta-merta" apabila isu-isu rumit timbul seperti keputusan untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.
ANGKAT WHIP PARTI
Encik Singh pada Isnin juga memberitahu Dewan bahawa AP WP mempunyai "pandangan berbeza" tentang pemansuhan 377A sebagai individu dan oleh demikian, beliau sudah mengangkat whip parti mengenai isu tersebut, lantas membolehkan para AP parti itu untuk mengundi dengan bebas.
Ketua Pembangkang itu menambah beliau lazimnya tidak akan mengangkat whip parti bagi perbahasan Parlimen dan sedia maklum bahawa PAP tidak akan mengangkat whip parti bagi perbahasan ini.
"Dengan tidak mengangkat whip parti, ia akan menafikan AP WP, yang tidak berpihak kepada pemansuhan 377A, peluang untuk mengundi dengan bebas dan dalam berbuat demikian, juga untuk mewakili rakyat SIngapura yang melihat isu ini sebagai satu perkara yang melibatkan pegangan agama dan hati nurani yang mendalam."
Encik Singh meminta semua AP WP, yang akan berucap berhubung pemansuhan 377A, agar "memikirkan dengan teliti pendirian yang akan mereka ambil dan menetapkan satu set prinsip atau perspektif di mana seluruh masyarakat, dengan pandangan mereka yang berbeza-beza, boleh bergerak maju ke hadapan".
AP Faisal Manap (WP-Aljunied) dan AP Louis Chua (WP-Sengkang) tidak hadir bagi perbahasan Parlimen pada Isnin kerana mereka diuji positif COVID-19, tambah Encik Singh.
Encik Faisal tidak setuju 377A dimansuhkan sebagai "satu perkara melibatkan pegangan agama dan hati nurani" manakala Encik Chua bersetuju dengan pemansuhan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.