'Pemangsa bersiri' mengaku lakukan kesalahan seksual ke atas lelaki terencat akal
Seorang pesalah berulang mengaku di mahkamah pada Rabu (7 Nov), melakukan serangan seksual dan mencabul kehormatan seorang lelaki berusia 21 tahun, yang mengalami kerencatan mental ringan.
Gambar fail. (Gambar: Xabryna Kek)
SINGAPURA: Seorang pesalah berulang mengaku di mahkamah pada Rabu (7 Nov), melakukan serangan seksual dan mencabul kehormatan seorang lelaki berusia 21 tahun, yang mengalami kerencatan mental ringan.
Teo Koon Tian, 62 tahun, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan melakukan serangan seksual dan dua tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa.
Ia adalah kali keempat dia didapati bersalah atas kesalahan seksual. Pada 1990, dia didapati bersalah di bawah seksyen 377A kerana perbuatan lucah dan dipenjara selama enam bulan. Dua kesalahan lain membabitkan perbuatan mencabul kehormatan dilakukan pada 2004 dan 2014.
Ketiga-tiga jenayah terbaru berlaku pada hari yang sama - 7 Sep tahun lalu - dalam tandas dapur, mahkamah dimaklumkan.
Mangsa tersebut, yang identitinya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah berada di Yishun Ring Road untuk makan malam pada hari itu. Dia berkongsi meja dengan Teo yang tidak dikenalinya meskipun Teo pernah melihatnya di kejiranan itu sebelum ini.
Satu laporan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati Teo mempunyai minat seksual terhadap kaum lelaki dan pernah melakukan seks yang dipersetujui dengan lelaki dewasa.
Meskipun dia menafikan mempunyai rangsangan seksual kuat dan berulang terhadap kanak-kanak, Teo mengaku kepada pakar psikiatri bahawa dia membawa mangsa pulang ke rumah untuk melakukan aktiviti seksual bersamanya.
Dia dinilai tidak mempunyai sebarang penyakit mental atau kerencatan akal. Meskipun dia mungkin dalam keadaan khayal, dia "sedar perbuatannya salah dan bukan dalam keadaan tidak waras", mahkamah dimaklumkan.
Pihak pendakwa, yang menyifatkan Teo sebagai "pemangsa seksual berulang", meminta dia menjalani hukuman penahanan pencegahan selama 10 tahun.
Hakim daerah Jasvender Kaur mengarahkan satu laporan penahanan pencegahan. Teo ditahan dan dijangka akan dijatuhi hukuman pada 21 Nov.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.