Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow ikrar maklumat lebih tepat bagi penumpang semasa gangguan khidmat MRT
Para penumpang seharusnya menerima maklumat lebih tepat ketika berlaku gangguan khidmat MRT, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow di parlimen pada Isnin (22 Sep), sedang beliau cuba menangani keprihatinan yang semakin meningkat berhubung gangguan khidmat MRT baru-baru ini.
Dalam responsnya kepada 18 soalan parlimen yang difailkan mengenai keandalan MRT, Encik Siow sedia maklum mengenai kekecewaan orang awam berhubung rentetan gangguan khidmat MRT yang berlaku baru-baru ini.
Empat gangguan khidmat MRT berlaku di Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Timur-Barat (EWL) dan Laluan Thomson-East Coast yang dikendalikan oleh SMRT dan LRT Punggol yang dikendalikan oleh SBS Transit dalam tempoh lima hari pada bulan ini.
Sungguhpun begitu, Encik Siow menjelaskan bahawa bebas sebarang insiden gangguan adalah satu jangkaan yang tidak realistik.
"Kelengahan khidmat MRT berlaku dalam setiap sistem, di setiap bandar. Telefon bimbit kami, komputer kami perlu dihidupkan semula sekali-sekala. Kereta juga akan rosak. Sama juga dengan MRT kita," katanya.
Walaupun gangguan tidak dapat dielakkan, matlamatnya tetap adalah untuk "mengurangkan" gangguan kerana ia menimbulkan kesulitan kepada para penumpang dan pihak berkuasa perlu "bekerja lebih keras untuk memastikan demikian".
"Apa yang juga penting adalah apabila berlaku gangguan yang tidak dapat dielakkan, kami boleh menyokong para penumpang dan membimbing mereka untuk meneruskan perjalanan mereka dengan selamat, dengan pemahaman dan kerjasama mereka."
Encik Siow berkata demikian menyusuli jaminan oleh pengendali pengangkutan awam SMRT bahawa rentetan gangguan khidmat MRT yang berlaku pada bulan ini adalah kes terpencil dan bukan sistemik.
Perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang diterbitkan pada 5 September menunjukkan keseluruhan keandalan MRT antara Julai 2024 dengan Jun 2025 merosot ke paras terendah dalam masa lima tahun.
Encik Siow berkata setiap kejadian MRT turut diberi perhatian.
"Saya secara peribadi dimaklumkan setiap kali berlaku insiden MRT, walaupun pada larut malam atau semasa waktu kejuruteraan," katanya.
"Kami mahu bertanggungjawab kepada para penumpang."
Encik Siow menambah beliau juga sudah meminta LTA supaya berkongsi lebih banyak data mengenai gangguan khidmat MRT kepada umum.
"Kami akan bersikap telus, kerana kami mempunyai sistem yang baik, dan kami tidak mempunyai apa-apa untuk diselindung," katanya.
HARUSKAN SG SEMAK METRIK KEANDALAN MRT?
Antara soalan-soalan yang diajukan, Encik Sharael Taha (PAP-Pasir Ris-Changi) bertanya bagaimana sasaran keandalan MRT Singapura boleh dibandingkan dengan rangkaian di negara-negara lain.
Encik Siow berkata menggunakan penunjuk keandalan seperti purata kilometer antara kegagalan (MKBF), bermakna sistem MRT Singapura kekal sebagai salah satu paling diyakini di dunia.
MKBF Singapura bagi tempoh 12 bulan sehingga Ogos 2025 adalah kira-kira 1.7 juta kereta api-kilometer.
Jumlahnya lebih tinggi berbanding sasaran sejuta yang ditetapkan pada 2017, namun ia lebih rendah berbanding puncak MKBF lebih dua juta pada 2022 dan 2023.
Perangkaan itu juga lebih tinggi berbanding sistem MTR Hong Kong, walaupun ia lebih rendah berbanding sistem Metro Taipei.
Bagi jumlah kelengahan khidmat melebihi 30 minit bagi setiap juta kereta api-kilometer, sistem MRT mencatat prestasi serupa dengan khidmat metro di Tokyo dan bandar-bandar Jepun yang lain, kata Encik Siow.
"Saya meminta LTA supaya menerbitkan perbandingan ini secara kerap, supaya rakyat Singapura boleh membuat perbandingan antara MRT kita dengan sistem-sistem itu," katanya.
Satu lagi kelemahan MKBF adalah ia tidak mengukur tempoh gangguan khidmat dan kesannya pada penumpang.
"Sebagai contoh, penghentian khidmat sepenuhnya dianggap sama seperti insiden kecil yang berlaku secara lebih kerap, walaupun MRT masih bergerak dan penumpang masih dapat meneruskan dengan perjalanan mereka," kata Encik Siow.
Dengan cara yang serupa, kesan pengguna dipertimbangkan oleh LTA, yang kemudian mengenakan denda terhadap para pengendali apabila berlaku gangguan khidmat yang serius.
Menjawab soalan oleh Encik Louis Chua (WP-Sengkang) mengenai denda yang dikenakan terhadap pengendali MRT, Encik Siow berkata LTA mengenakan purata kira-kira empat denda sedemikian setiap tahun terhadap pengendali dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
PENUMPANG HARUS MENERIMA MAKLUMAT LEBIH TERPERINCI SEMASA GANGGUAN MRT
Sebuah Pasukan Bertindak Keandalan Sistem MRT diumumkan oleh Encik Siow pada awal bulan ini untuk "memastikan tiada masalah sistemik" apabila berlaku gangguan khidmat MRT.
Pasukan bertindak itu akan meneliti pembaharuan sistem kritikal seperti bekalan kuasa dan isyarat dan menjalankan audit bersama-sama terhadap penyenggaraan dan operasi sistem kritikal, kata Encik Siow.
Ia juga akan menyemak proses pemulihan perkhidmatan apabila berlaku gangguan khidmat.
Para pengendali MRT memaklumkan kepada para penumpang mengenai kelengahan khidmat melebihi 10 minit, seperti dikehendaki oleh LTA, dan walaupun ia adalah keperluan asas, lebih banyak boleh dilakukan, katanya.
Sebagai contoh, para penumpang perlu mempunyai maklumat lebih terperinci mengenai laluan perjalanan alternatif dan masa perjalanan tambahan, bergantung pada lokasi khusus mereka dan bukannya makluman secara am, kata Encik Siow.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.