Skip to main content

Singapura

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Muhammad Faishal Ibrahim meletak jawatan; Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad ambil alih

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Muhammad Faishal Ibrahim meletak jawatan politik pada Isnin (20 Jul) selepas interaksinya dengan seorang wanita "tidak memenuhi" piawaian yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP), kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Jul 2026 01:39PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 01:43PM
SINGAPURA: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Muhammad Faishal Ibrahim meletak jawatan politik pada Isnin (20 Jul) selepas interaksinya dengan seorang wanita "tidak memenuhi" piawaian yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP), kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Profesor Madya Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, meletak jawatan sebagai pemegang jawatan politik, AP, dan sebagai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Perkara ini dibawa kepada perhatian kami kira-kira sebulan lalu apabila Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerima emel daripada seorang anggota masyarakat wanita berhubung interaksinya dengan Profesor Madya Faishal," kata Encik Wong dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri mengarahkan agar perkara itu diteliti dengan segera, dan Profesor Madya Faishal serta wanita berkenaan ditemu bual secara berasingan untuk memahami keterangan masing-masing, tambah beliau.

Kebanyakan interaksi mereka berlaku menerusi mesej online. Mereka juga bertemu di luar acara-acara awam, kata Encik Wong.

Kedua-dua pihak kemudian membuat tuduhan gangguan terhadap satu sama lain dan perkara itu dirujuk kepada polis, yang menjalankan siasatan terhadap tuduhan tersebut.

"Selepas mempertimbangkan dengan teliti fakta dan keadaan kes, serta selepas berunding dengan Pejabat Peguam Negara, penilaian dibuat bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak," kata Perdana Menteri dalam kenyataan tersebut.

Tiada tindakan jenayah akan diambil terhadap kedua-duanya.

"Namun, terdapat persoalan berasingan berhubung sama ada tingkah laku Profesor Madya Faishal memenuhi piawaian yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan AP," kata Encik Wong.

"Selepas mempertimbangkan perkara tersebut, Profesor Madya Faishal menerima bahawa tingkah lakunya tidak memenuhi piawaian itu dan mengemukakan peletakan jawatannya."

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad akan dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, manakala empat AP lain di Kawasan Undian Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights akan terus berkhidmat kepada para penduduk di Kembangan, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata Profesor Madya Faishal telah memberikan "sumbangan besar sepanjang dua dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam" dan memainkan peranan penting dalam memajukan inisiatif yang memperkukuh daya tahan masyarakat, menyokong pemulihan dan integrasi semula bekas pesalah serta meningkatkan kehidupan keluarga yang terdedah kepada risiko.

"Beliau telah bekerja keras sebagai AP dan berkhidmat kepada para penduduknya dengan tekun. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas pelbagai sumbangannya."
Related article image
PERTUKARAN SURAT

Dalam sepucuk surat kepada Encik Wong yang dikeluarkan kepada media, Profesor Madya Faishal memaklumkan Perdana Menteri berhubung keputusannya untuk meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta atas sebab peribadi.

"Satu situasi telah timbul melibatkan tingkah laku saya dengan seorang anggota masyarakat wanita," kata Profesor Madya Faishal, yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak.

"Walaupun tiada hubungan fizikal antara kami dan saya tidak berniat untuk membiarkan interaksi itu berkembang ke arah sedemikian, terdapat kekhilafan pertimbangan di pihak saya dalam cara saya mengendalikan interaksi tersebut, dan gagal menetapkan batasan yang lebih jelas pada peringkat lebih awal."

Profesor Madya Faishal menambah, beliau mengakui tingkah lakunya tidak memenuhi piawaian yang diharapkan daripadanya dan tidak selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

"Oleh itu, saya memutuskan ia adalah wajar untuk saya berundur daripada politik supaya saya dapat menumpukan masa dan perhatian kepada keluarga saya."

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan PAP atas sokongan serta persahabatan mereka.
Related article image
Sebagai respons, PM Wong menerima keputusan tersebut dan berkata beliau berasa sedih Profesor Madya Faishal meninggalkan politik dalam keadaan sedemikian.

"Namun, saya menghargai pengakuan anda bahawa tingkah laku anda tidak memenuhi piawaian yang diharapkan daripada anda, serta keputusan anda untuk mengambil tanggungjawab atas perkara tersebut."

Encik Wong turut menarik perhatian kepada "sumbangan besar" Profesor Madya Faishal sepanjang 20 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau.

"Secara khusus, saya menghargai khidmat anda sepanjang tahun lalu sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

"Saya mendoakan yang terbaik untuk anda dan keluarga sedang anda mengambil masa dan ruang yang diperlukan untuk memberi tumpuan kepada keluarga."

Profesor Madya Faishal menceburi bidang politik pada April 2006 sebagai sebahagian daripada pasukan enam anggota PAP yang memenangi GRC Marine Parade.

Beliau mewakili GRC Marine Parade antara 2006 hingga 2011, sebelum dipilih sebagai AP bagi GRC Nee Soon sebanyak tiga kali antara 2011 hingga 2025.

Dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), beliau merupakan sebahagian daripada pasukan PAP yang memenangi GRC Marine Parade-Braddell Heights tanpa bertanding.

Profesor Madya Faishal memegang pelbagai jawatan di beberapa kementerian sejak Ogos 2012.

Beliau merupakan Setiausaha Parlimen bagi Pengangkutan dan Kesihatan dari Ogos 2012 hingga September 2015.

Dari Oktober 2015 hingga April 2017, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen bagi Pendidikan serta Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Profesor Madya Faishal dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Parlimen Kanan bagi kedua-dua kementerian itu dari Mei 2017 hingga Julai 2020.

Pada Julai 2020, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat menjadi Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara dan memegang jawatan tersebut sehingga Mei 2025, apabila beliau dilantik sebagai Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Beliau merupakan seorang ahli akademik di Universiti Nasional Singapura (NUS), selepas memulakan kerjayanya sebagai seorang penilai di Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dari 1993 hingga 1996.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita