Skip to main content

Singapura

Pemandu yang sebabkan kematian pembonceng motosikal bukan penuntut NUS

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu yang sebabkan kematian pembonceng motosikal bukan penuntut NUS

Jarrett Tee Lee Kiat (kiri) tidak pernah menjadi pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS), menurut universiti tersebut. (Gambar: TikTok/da_niubee, CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 02 Jul 2025 06:01PM Dikemas Kini : 02 Jul 2025 06:02PM
SINGAPURA: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang pemandu yang menyebabkan kematian seorang pembonceng motosikal, bahawa dia adalah seorang pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS).

Rakyat Singapura Jarrett Tee Lee Kiat, 30 tahun, dikenal pasti sebagai pelajar NUS pada masa kejadian, dalam laporan prosiding mahkamah berdasarkan dokumen mahkamah rasmi.

Sekalipun demikian, selepas Tee dijatuhi hukuman, NUS mengeluarkan kenyataan di Facebook yang menyatakan bahawa Tee "tidak mempunyai kaitan dengan universiti ini".

"Tiada rekod individu ini pernah menjadi penuntut atau sedang menuntut di NUS," menurut universiti itu pada Selasa.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu menyatakan polis sedang menyiasat dakwaan Tee bahawa dia adalah seorang pelajar NUS.

AGC menyatakan Tee menegaskan dalam kenyataannya kepada polis pada 8 Mac 2024, bahawa dia adalah pelajar sepenuh masa NUS.

"Maklumat ini kemudiannya dinyatakan dalam kenyataan fakta yang dipersetujui oleh pihak pendakwaan dan pembelaan dan diserahkan kepada mahkamah apabila Tee mengaku bersalah pada 27 Jun 2025," kata jurucakap AGC.

"Status Tee sebagai pelajar tidak penting kepada pertuduhan yang dihadapinya dan bukan faktor yang diambil kira untuk hukuman."

Tee dijatuhi hukuman penjara lima tahun lapan bulan pada 27 Jun kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Cik Leann Lim Jia Le, 18 tahun, dalam permainan perlumbaan yang tidak menjadi.

Dia memandu di ekspreswe East Coast Parkway pada kelajuan sehingga 160km/j apabila dia memecut dan memotong motosikal yang dinaiki Cik Lim.

Dia kemudian mula bermain "permainan menghalang dan menekan brek" dengan motosikal itu. Selepas bertanya kepada penumpangnya, "Anda mahu lihat motosikal terbang?", Tee melanggar sisi motosikal itu, menyebabkan penunggang dan pemboncengnya tercampak lima hingga lapan meter.

Cik Lim meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan dari pelanggaran itu, dan Tee berkata "dia wajar mati kerana dia datang dan menguji kesabaran saya", menurut dokumen mahkamah.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita