Pemandu van warga Malaysia diberkas di Woodlands selepas lebih 890 vape, 6,700 komponen berkaitan ditemui dalam kenderaannya
Seorang lelaki diberkas di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada pagi Rabu (27 Ogos) selepas lebih 890 vape dan 6,700 komponen berkaitan vape ditemui dalam vannya.
ICA menemui lebih 890 vape dan 6,700 komponen berkaitan vape dalam sebuah van berdaftar Malaysia yang membawa peralatan dan komponen alat hawa dingin di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 27 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/Immigration & Checkpoints Authority)
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mendedahkan dalam catatan di Facebook pada Khamis (28 Ogos) bahawa kenderaan yang berdaftar di Malaysia itu sedang mengangkut peralatan alat hawa dingin dan bahagian servis apabila ia diarahkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
"Semasa pemeriksaan awal, para pegawai ICA menemui vape disorok dalam kotak-kotak di dalam kenderaan tersebut. Setelah menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti, para pegawai menemui vape tambahan dan komponen berkaitan vape yang disembunyikan di dalam unit alat hawa dingin dan komponennya."
“Lebih banyak vape dan komponennya juga ditemui disembunyikan di dalam pelbagai kompartmen kenderaan itu,” dedah ICA sambil menambah unit K-9 Pasukan Polis Singapura (SPF) diaktifkan untuk membantu operasi tersebut.
Lelaki warga Malaysia itu diberkas dan kesnya dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.
"Keselamatan sempadan adalah aspek penting dalam strategi penguatkuasaan Singapura terhadap vape. Sebagai penjaga sempadan negara, ICA kekal komited untuk melindungi Singapura dengan memastikan sempadan kita kekal selamat dan terjamin."
Singapura telah meningkatkan penguatkuasaan terhadap vape, termasuk meningkatkan pemeriksaan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut.
Antara April dan Jun, operasi oleh ICA dan HSA berjaya membongkar 19 kes penyeludupan berskala besar dan membawa kepada rampasan kira-kira 90,000 vape dan produk berkaitan.
Lebih 850 vape turut dirampas di pusat pemeriksaan sempadan minggu lalu sebagai sebahagian daripada pemeriksaan yang dipertingkatkan itu.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025 (NDR2025) berkata Singapura akan menyifatkan vape sebagai "isu dadah" dan pihak berkuasa akan mengenakan hukuman "lebih tegas dan berat", termasuk hukuman penjara bagi mereka yang menjual vape yang mengandungi bahan berbahaya.
Pembelian, pemilikan dan penggunaan vape dilarang di Singapura. Ini termasuk pembelian yang dilakukan secara online dan dari luar negara. Pesalah boleh didenda sehingga S$2,000.
Sesiapa yang disabitkan kesalahan mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan vape untuk dijual atau komponennya boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berikutnya, hukuman maksimum digandakan.
Sesiapa sahaja yang didapati memiliki atau menggunakan Kpod - vape yang dibubuh etomidate - boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Hukuman ini dijangka lebih berat selepas etomidate diklasifikasikan sebagai Dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah mulai 1 Sep, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.