Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu treler dijel kerana langgar 3 penunggang e-basikal, 2 maut

Seorang pemandu treler, yang melanggar tiga pengguna basikal elektrik yang membunuh dua daripada mereka dan mencederakan seorang lagi, hari ini (13 Dis) dijatuhi hukuman penjara 12 minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu treler dijel kerana langgar 3 penunggang e-basikal, 2 maut

Gambar pemandu treler, Sahadevan Senguttuvan, dan tempat kejadian di Lebuhraya West Coast, yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Eric Ang.

Diterbitkan : 13 Dec 2018 09:32PM Dikemas Kini : 13 Dec 2018 09:36PM

SINGAPURA: Seorang pemandu treler, yang melanggar tiga pengguna basikal elektrik yang membunuh dua daripada mereka dan mencederakan seorang lagi, hari ini (13 Dis) dijatuhi hukuman penjara 12 minggu.

Sahadevan Sengguttuvan, seorang warga India yang berusia 36 tahun, mengaku bersalah semalam (12 Dis). Dia juga diharamkan daripada memandu selama lima tahun.

Kemalangan tragik itu berlaku sejurus sebelum tengah malam pada 27 Oktober 2016 di Lebuhraya West Coast.

Hasil siasatan mendedahkan ketika itu, Sahadevan baru sahaja selesai bekerja selama 12 jam sejak pukul 7.20 pagi dan dia sedang memandu treler berkenaan ke arah Telok Blangah apabila nahas tersebut berlaku.

Ketiga-tiga mangsa - iaitu Ang Yee Fong, 25 tahun; Ong Zi Quan, 18 tahun; dan Marcus Loke Teck Soon, 17 tahun - sedang menunggang basikal elektrik mereka dalam satu barisan di lorong paling kanan di hadapan treler tersebut.

Sahadevan tidak memerhatikan jalan raya dengan teliti, kata Timbalan Pendakwa Raya Ho Lian-Yi, dan melanggar basikal elektrik Encik Ang, menyebabkannya terperangkap di bawah treler itu serta diheret di jalan raya.

Sahadevan kemudian cuba untuk membelok kanan bagi mengelak daripada melanggar dua lagi lelaki tersebut, namun treler itu melanggar kedua-dua mangsa.

Zi Quan juga terperangkap di bawah treler dan diheret di jalan raya, manakala Marcus pula terjatuh daripada basikal elektriknya ke tepi jalan raya.

Sahadevan kemudian berhenti memandu dan turun daripada treler itu sebelum menghubungi ambulans dan menunggu ketibaannya.

Ang disahkan mati di tempat kejadian manakala Zi Quan pula meninggal dunia di hospital. Marcus mengalami luka dan lebam pada tubuhnya serta keretakan pada jarinya.

Pihak pendakwa raya meminta agar Sahadevan dijatuhi hukuman penjara selama 12 minggu manakala pihak pembela memohon hukuman penjara selama lapan minggu.

PEMANDU KATA DIA PANIK, TIDAK MAHU LANGGAR MANGSA

Semasa siasatan koroner pada tahun lalu, Sahadevan berkata dia panik apabila ternampak para penunggang e-basikal itu. Dia juga tidak cuba untuk menekan brek sebelum melanggar mereka.

Ketika itu, dia memandu treler tersebut dengan had kelajuan sekitar 40 kilometer sejam iaitu kurang daripada had kelajuan sekitar 70 kilometer sejam yang ditetapkan.

Meskipun ketiga-tiga e-basikal itu didapati diubah suai secara haram dengan dilengkapi dengan pendikit, tempat duduk motosikal dan bateri tambahan, pengubahsuaian itu didapati tidak menyumbang kepada punca kemalangan.

Hakim Mahkamah Hamidah Ibrahim berkata beliau sudahpun menonton rakaman video kemalangan itu, yang menurutnya "berlaku dengan pantas sekali".

Hakim Hamidah menerima permohonan pihak pendakwa raya untuk meningkatkan tempoh hukuman penjara, sambil mengatakan bahawa ia perlu bagi menyampaikan mesej kepada semua pemandu kenderaan demi mencegah berlakunya nahas seperti itu.

Sahadevan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali kerana menyebabkan kematian disebabkan perbuatan cuai.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan