Pemandu teksi Trans-Cab diberkas kerana berkelahi, buat ugutan jenayah
Seorang pemandu teksi Trans-Cab berusia 43 tahun diberkas pada Rabu (4 Dis) menyusuli satu kes perkelahian di jalan raya dan satu lagi kes melakukan ugutan jenayah serta sengaja menyebabkan kecederaan.
SINGAPURA: Seorang pemandu teksi Trans-Cab berusia 43 tahun diberkas pada Rabu (4 Dis) menyusuli satu kes perkelahian di jalan raya dan satu lagi kes melakukan ugutan jenayah serta sengaja menyebabkan kecederaan.
Video insiden melibatkan pemandu teksi itu tersebar online. Salah satu video menunjukkan pemandu teksi berkenaan menumbuk dan menendang kereta seorang lagi pemandu.
Manakala, dalam satu lagi video, dia memaki hamun sepasang lelaki dan wanita yang membawa seorang bayi.
Dalam insiden pertama pada 22 November, polis menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan pada sekitar pukul 3.20 petang mengenai satu kes perkelahian di Paterson Hill.
Siasatan mendapati bahawa pemandu teksi itu bersemuka dengan seorang pemandu selepas pemandu berkenaan membunyikan hon keretanya.
Pemandu teksi itu menendang dan menggunakan buku lima dan sikunya untuk menghentak kereta mangsa, sekali gus menyebabkan kerosakan.
Pemandu kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Insiden kedua pula berlaku pada 24 November, iaitu sekitar pukul 11.30 malam. Kali ini, pemandu teksi itu terlibat dalam pertikaian dengan penumpangnya di tempat menunggu teksi Far East Plaza.
"Semasa berlaku pertikaian itu, pemandu teksi tersebut dipercayai menghayunkan sepasang playar terhadap salah seorang penumpang yang membawa bayi berusia lima bulan. Playar tersebut terkena tangan kanan penumpang itu," menurut polis.
Bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu teksi berkenaan diberkas di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu (4 Dis).
Dia akan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.
Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Mediacorp sudah menghubungi Trans-Cab untuk mendapatkan komen berhubung insiden tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.