Pemandu teksi rempuh pejalan kaki di Alexandra Road akibat ketumbuhan hati yang pecah
Seorang pemandu teksi SMRT yang merempuh para pejalan kaki di persimpangan Alexandra Road pada Mac mengalami ketumbuhan hati yang pecah, menyebabkan beliau pengsan sewaktu kemalangan itu.

Seorang pemandu teksi SMRT merempuh para pejalan kaki di persimpangan Alexandra Road pada Mac. (Gambar: SG Road Vigilante/Facebook)
SINGAPURA: Seorang pemandu teksi SMRT yang merempuh para pejalan kaki di persimpangan Alexandra Road pada Mac mengalami ketumbuhan hati yang pecah, menyebabkan beliau pengsan sewaktu kemalangan itu. Demikian menurut siasatan koroner pada Rabu (18 Sep).
Seorang wanita berusia 66 tahun meninggal dunia manakala seorang lagi pejalan kaki mengalami kecederaan.
Kejadian itu berlaku pada sekitar pukul 7.00 malam pada 22 Mac di persimpangan antara Alexandra Road, Jalan Bukit Merah dengan Queensway.
Video-video di media sosial menunjukkan teksi itu, dengan lampu kecemasan masih menyala, menghampiri sebuah kereta yang tidak bergerak di lorong pertama. Teksi itu kemudian tiba-tiba membelok ke kiri, di lorong kedua, sebelum memecut dan membelok ke kanan bertentangan arus trafik di persimpangan tersebut.
Mangsa itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional (NUH). Koroner itu memutuskan bahawa kematiannya itu satu kejadian amat malang disebabkan kemalangan trafik.
PENUMPANG TARIK STERENG
Berdasarkan keterangan para penumpang teksinya, penumpang di tempat duduk bahagian hadapan terlihat mata Encik How tertutup apabila mereka berada di persimpangan.
Penumpang itu menepuk tubuh pemandu itu tetapi tidak mendapat sebarang respons.
Apabila teksi itu mula bergerak ke hadapan, salah seorang penumpang di tempat duduk belakang menjerit kepada penumpang yang berada di hadapan supaya menyalakan lampu kecemasan.
"Penumpang di bahagian hadapan itu kemudian menarik stereng kereta ke kiri untuk mengelak dari bertembung dengan sebuah kenderaan di hadapan mereka," menurut koroner.
"Penumpang di hadapan memberitahu bahawa beliau melakukan demikian kerana bimbang akan keselamatan orang-orang di dalam teksi itu dan berasa panik.
Teksi itu kemudian tiba-tiba membelok ke kanan dan semakin laju, lalu merempuh para pejalan kaki. Ia akhirnya terhenti apabila menaiki bendul.
Di NUH, satu imbasan yang dilakukan ke atas Encik How mendedahkan ketumbuhan hati yang pecah yang menyebabkan pendarahan di bahagian perutnya.
Oleh kerana ketumbuhan itu tiba-tiba pecah, "beliau pengsan buat sementara waktu", menurut Profesor Madya Alfred Kow, konsultan kanan di jabatan pembedahan di NUH.
Encik How tidak tahu menahu bahawa terdapat ketumbuhan di hatinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.