Skip to main content

Singapura

Pemandu teksi mabuk dipenjara; tertidur ketika memandu, larikan diri selepas bertembung kereta lain di SLE

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu teksi mabuk dipenjara; tertidur ketika memandu, larikan diri selepas bertembung kereta lain di SLE

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Seorang pemandu teksi yang memandu dalam keadaan mabuk di Ekspreswe Seletar (SLE) pada 2020, tertidur dan gagal mengawal kenderaannya sehingga bertembung dengan sebuah kereta. 

Dia kemudian  meninggalkan  tempat kejadian dan menegaskan tidak melanggar sebarang kereta walaupun pemandu kenderaan terbabit menunjukkan kerosakan pada teksinya sendiri. 

Lim Chee Yong, 45 tahun, dijatuhi hukuman penjara 12 minggu pada Jumaat (25 Mac), dilarang memandu selama empat tahun dan dikenakan denda S$800.

Dia sebelum itu mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara berbahaya dan menyebabkan kecederaan serta gagal memberi bantuan kepada mangsa. 

Hakim Daerah, Carol Ling berkata mujur secara kebetulan kecederaan yang dialami mangsa tidak serius.

Mangsa mengalami  tegang di leher, bahagian belakang badan, bahu kiri dan pergelangan tangan serta lebam di lutut. Beliau diberi lima hari cuti sakit. 

Kos untuk membaiki  keretanya mencecah lebih S$17,000.

Kejadian itu berlaku ketika Lim memandu di SLE menghala ke Ekspreswe Central (CTE) pada sekitar 11.40 malam, 6 April 2020. 

Ketika itu, Lim tidak menghidupkan lampu depan dan belakang teksinya. Dia juga memandu pada kelajuan 94 kilometer sejam, iaitu melebihi had yang dibenarkan, menurut dokumen mahkamah. 

Semasa memandu, Lim tertidur dan gagal mengawal kenderaannya, lantas merempuh belakang kereta mangsa. 

Lim tidak berhenti dan sebaliknya terus memandu meninggalkan tempat kejadian. Seorang saksi yang memandu di belakang kedua-dua kenderaan itu mengejar dan berjaya menahan Lim. 

Saksi itu memberitahu Lim bahawa dia telah melanggar sebuah kereta dan bertanya jika dia cuba melarikan diri. 

Lim yang kelihatan dalam keadaan terpinga-pinga mendakwa dia tidak melanggar sebarang kereta. 

Saksi itu kemudian menunjukkan kerosakan pada teksi Lim. 

Mereka kemudian berjalan di bahu ekspreswe ke kereta mangsa. Lim sekali lagi menegaskan tidak melanggar sebarang kereta.

Saksi itu kemudian  menelefon polis dengan Lim memandu teksinya meninggalkan  tempat kejadian.

Kejadian itu berjaya dirakamkan kamera dalam kenderaan  saksi tersebut. Seorang lagi saksi juga menelefon polis selepas melihat Lim memandu teksinya yang rosak ke tempat meletak kereta. 

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Ling menyatakan hukuman Lim boleh ditambah kerana kesalahan memandu sebelum ini.

Lim mempunyai lima sabitan kerana memandu melebihi had kelajuan dan memandu ketika di bawah larangan. 

Sumber : CNA/FA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita