Skip to main content

Singapura

Pemandu teksi, kereta sewa privet 'dibelanja' makan tengah hari percuma di Kallang CC

Setiap hari antara Isnin dengan Jumaat sehingga 11 Jun, 100 paket makanan dari gerai-gerai penjaja diagihkan secara percuma untuk membantu ringankan beban para pemandu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu teksi, kereta sewa privet 'dibelanja' makan tengah hari percuma di Kallang CC

(Gambar: Facebook/PA)

Diterbitkan : 06 Jun 2021 09:22PM Dikemas Kini : 06 Jun 2021 09:27PM

SINGAPURA: Bagi para pemandu teksi dan kereta sewa privet, setiap kali tiba waktu rehat sebelah tengah hari, mereka perlu mencari kedai makan sebelum beratur untuk membeli makanan.

Ini bermakna waktu rehat mereka lebih singkat, selain secara tidak langsung menjejas pendapatan mereka kerana tidak dapat mengambil penumpang sepanjang tempoh itu.

Namun bagi para pemandu yang berada di kawasan Kallang dan Whampoa, satu daya usaha dilancarkan baru-baru ini untuk meringankan beban di pundak mereka.

Dari 31 Mei hingga 11 Jun ini, para pemandu teksi dan kereta sewa privet boleh mengambil makanan percuma dengan memandu lalu di Balai Rakyat Kallang.

Makanan percuma itu diagihkan setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, dari 10.15 pagi sehingga 11.15 pagi, menurut makluman Persatuan Rakyat (PA) di laman Facebooknya baru-baru ini (2 Jun).

Sebanyak 100 bungkus makanan diagihkan setiap hari, termasuk pilihan makanan Halal dan vegetarian, menurut PA.

"Bagi para pemandu, makanan yang panas-panas ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka, seperti perlu merancang untuk makan tengah hari. Adalah lebih bermakna apabila makanan percuma itu dimasak sendiri oleh penjaja-penjaja tempatan, yang sanggup berbuat demikian sedangkan mereka sendiri menghadapi cabaran serupa untuk mencari nafkah di tengah-tengah penularan COVID-19," tambah PA.

Menurut catatan Facebook tersebut, makanan yang diagihkan itu ditaja oleh pertubuhan sukarelawan Serve Our City Singapore.

Selain bungkusan makanan yang panas-panas, para pemandu juga boleh menerima pek jagaan diri yang diberikan oleh Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat (CDWF) Whampoa.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita