Pemandu teksi, kereta sewa harap bantuan pemerintah, syarikat untuk harungi kesan COVID-19
Sebilangan pemandu teksi yang ditemui BERITAmediacorp amat berharap agar kesan penularan virus korona baru atau COVID-19 tidak seteruk semasa wabak SARS pada 2003.
BERITAmediacorp: Sebilangan pemandu teksi yang ditemui BERITAmediacorp amat berharap agar kesan penularan virus korona baru atau COVID-19 tidak seteruk semasa wabak SARS pada 2003.
Mereka kini sudah mula merasakan “perit” mendapatkan penumpang sehingga pendapatan mereka menjunam sebanyak sepertiga.
Ini sedang Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sendiri meramalkan semalam (11 Feb) bahawa jumlah pelancong ke sini akan menjunam sehingga 30 peratus tahun ini dek kesan berpanjangan virus tersebut.
STB malah berpandangan bahawa keadaan dan kesannya kali ini mungkin sama buruk atau mungkin lebih buruk lagi berbanding SARS.
Lantaran itu, para pemandu teksi memberitahu BERITAmediacorp, mereka mengharapkan bantuan dari Pemerintah untuk mengharungi tempoh-tempoh sukar ini.
TEKSI KINI KURANG DAPAT TEMPAHAN
Lazimnya, setiap pagi, apabila memulakan tugas, para pemandu teksi boleh menerima antara empat dengan lima panggilan bagi khidmat tempahan.
Namun, sejak virus korona baru melanda, ada yang menerima satu panggilan sahaja.
Bagi para pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet yang kami temui itu, kami tanyakan satu persatu sebahagian daripada mereka berapa teruk pendapatan mereka terjejas? Ini jawapan mereka:
"Saya rasa 30 peratus daripada pendapatan saya,” jawab Encik Sarkawi yang memandu teksi Comfort.
“Saya rasa sekurang-kurangnya dah 30 peratus dalam masa dua minggu ini,” kongsi Encik Mohamad Adraee Marsuni, sementara rakannya Mohd Noor Isahak turut menjawab “lebih kurang dalam 30 peratus".

Pemandu kereta sewa privet, Encik Mohamad Adraee Marsuni.
MEMANDU LEBIH MASA? JIKA MEMANG TIADA PENUMPANG?
Bagaimanapun mereka menyifatkan keadaan “masih terkawal” buat masa ini jika dibandingkan dengan wabak SARS dahulu, di mana pendapatan pemandu teksi jatuh sehingga 70 peratus atau “hampir tiada penumpang dalam sehari”.
"Waktu SARS lagi teruk daripada sekarang. Jangan cakap gaji, sewa pun tak dapat lepas," kata Encik Mohamad Adraee Marsuni yang pada waktu itu memandu teksi. Sejak dua tahun lalu, Encik Adraee bertukar angin memandu kenderaan sewa privet.
Encik Adraee berkata, pemandu ganti yang memandu teksinya pada sebelah malam "setiap hari mengeluh" kerana tidak dapat membayar sewa.
Ini menyebabkan beliau dan pemandu gantinya memandu teksi sepanjang 24 jam seorang bersilih ganti sebagai usaha untuk mendapatkan penumpang.
Kini, sebagai seorang pemandu kereta sewa privet, Encik Adraee tiada pemandu ganti.
"Pasal saya memandu seorang. Jadi mungkin tak taulah, kalau kita nak memandu lebih masa, penumpang masih tak ada pun saya rasa tak guna kita berada di luar tapi tak ada penumpang," ujar beliau.
DILEMA DIHADAPI PARA PEMANDU TEKSI
Meskipun krisis virus korona baru kini belum seteruk SARS, ia tetap menggigit.
"Rasa macam peritlah nak cari penumpang. Mungkin penumpang pun rasa lebih selamat duduk di rumah," Encik Mohd Noor Isahak memberitahu BERITAmediacorp.
"Kecuali pagi waktu bekerja sajalah kita dapat penumpang. Lepas pada waktu pejabat itu saya rasa ada perit sikit," tambah beliau, yang memandu teksi Silvercab.
Para pemandu juga berdepan dengan satu lagi dilema - iaitu persepsi para penumpang tentang mereka.
"Badan-badan pemerintah selalu menyatakan ataupun doktor kalau sakit pakai pelitup. Jadi pada pemandu yang pakai pelitup kadang-kadang penumpang buka (pintu) ‘oh awak sakit’ dia tutup dia tak nak ambil (teksi saya). Itu yang risiko pada pemandu. Terpaksa bukalah (pelitup)," kata Encik Sareman Sarkawi, 62 tahun.

Pemandu teksi Comfort DelGro, Encik Sareman Sarkawi.
Sekalipun demikian, para pemandu teksi yang ditemui itu tidak berkompromi tentang kebersihan dan menjalankan tanggungjawab sivik masing-masing. Mereka semua rajin mengambil langkah kebersihan dan keselamatan.
Mentelah lagi mereka menerima pelbagai jenis orang dalam ruang tertutup kereta masing-masing.
Menurut Encik Sareman, syarikatnya, Comfort DelGro ada memberikan pelitup dan memeriksa suhu badan para pemandu.
"Saya rasa itu OK. Kita ikut apa yang telah diajar kepada rakyat Singapura. Cuci tangan dengan sabun. Kita amalkan lah. Mungkin itu satu yang boleh mencegah atau mengelakkan,” kata beliau.
Bagi Encik Adraee pula, beliau memang menitik beratkan kebersihan kenderaan yang dipandu. Malah, isterinya juga memberikan pembersih tangan atau 'hand sanitiser' untuk diletak di dalam kereta.
"Setiap kali penumpang keluar dari kereta saya akan turunkan tingkap. Jadi anginkan sikit dalam kereta itu.
"Tempat buka pintu, pemegang dia, tempat duduk, tali pinggang keledar semua saya bersihkan dengan pembersih kuman. Lagi pula isteri saya tak bekerja, anak saya masih sekolah. Jadi itu kebimbangan saya. Selain dari itu saya harus pastikan saya tidak bawa pulang virus itu ke rumah," kongsi beliau.
Tambahan pula antara 47 kes yang positif virus tersebut sejauh ini termasuklah seorang pemandu teksi dan seorang pemandu kereta sewa privet.
Jadi, para pemandu jelas bimbang kalau-kalau mereka menjadi antara yang dikenakan kuarantin dan ini akan lebih menjejas pendapatan mereka.
Mereka juga bimbang krisis virus korona baru ini boleh terus berlarutan.
Di sinilah mereka sebulat suara mengharapkan bantuan daripada pemerintah dan syarikat masing-masing.
"Bagi pengendalian teksi dapat mengurangkan buat masa ini dalam keadaan begini, kurangkan sewa ke, dapat meringankan sikit beban untuk kita para pemandu semua," kata Encik Isahak.

Pemandu teksi Silvercab, Encik Mohd Noor Isahak.
“Sekarang saya belum dengar ada syarikat yang sewakan kereta nak turunkan sewa atau tak payah bayar sewa. Saya tak ada dengar apa-apa. Mungkin pemerintah dapat galakkan syarikat syarikat yang menyewakan kereta untuk bantu kita dari segi itu,” luah Encik Adraee pula.
"Sekurang-kurangnya dapat kurangkan sewa ke sebab business tengah teruk sikit."
Buat masa ini, semua pihak - Pemerintah, syarikat-syarikat dan pihak-pihak berkuasa lain - masih lagi menunggu dan melihat, apakah keadaan akan semakin reda ataupun bertambah buruk sebelum menyusun langkah selanjutnya.
Yang pasti, Belanjawan Negara yang dibentangkan pemerintah minggu depan dijangka menawarkan bantuan bagi sektor-sektor yang dijangka terjejas teruk dek serangan COVID-19 ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.