Skip to main content

Singapura

Pemandu teksi didenda S$8,000 kerana hantar mesej lucah kepada budak 11 tahun

Seorang pemandu teksi yang menghantar soalan seksual kepada beberapa wanita melalui satu aplikasi sembang sementara menunggu penumpang, didenda S$8,000 pada Selasa (5 Okt) kerana menghantar mesej lucah kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu teksi didenda S$8,000 kerana hantar mesej lucah kepada budak 11 tahun

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 06:00PM

SINGAPURA: Seorang pemandu teksi yang menghantar soalan seksual kepada beberapa wanita melalui satu aplikasi sembang sementara menunggu penumpang, didenda S$8,000 pada Selasa (5 Okt) kerana menghantar mesej lucah kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Fadhillah Kassim, 65 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbualan seksual dengan seorang individu bawah umur, dengan tiada percubaan atau niat untuk berjumpa dengan mangsa.

Mahkamah diberitahu bahawa Fadhillah memuat turun aplikasi sembang itu pada Februari atau Mac tahun lalu untuk berbual dengan pengguna wanita sambil menunggu penumpang.

Dia akan memulakan dengan berbual kosong sebelum bertanyakan soalan berbaur seksual untuk menjadikan perbualan itu "menarik".

Menurutnya, sesetengah pengguna akan berkata bahawa mereka tidak berminat, namun ada sesetengah yang akan meneruskan perbualan mereka.

Fadhillah tidak mendedahkan usia sebenarnya kepada mereka, mendakwa bahawa mereka akan "berpura-pura berusia muda" dengan memberikan umur yang lebih muda daripada usia sebenar bagi mengumpan pengguna lelaki lebih berusia untuk berbual dengan mereka.

Pada pertengahan Julai tahun lalu, mangsa yang berusia 11 tahun itu sedang menonton YouTube apabila satu iklan bagi aplikasi sembang itu muncul.

Dia memuat turun aplikasi itu atas rasa ingin tahu, menurut pihak pendakwa, dan mula berkenalan dengan Fadhillah menerusi aplikasi tersebut beberapa minggu kemudian.

Fadhillah kemudian mengaku kepada pasukan penyiasat bahawa dia mula bertanya soalan berkaitan seksual kepada mangsa apabila perbualan mereka mula menjadi "bosan".

Petikan perbualan mereka menunjukkan bahawa Fadhillah bertanya kepada mangsa: "Sekarang cakap betul-betul. Berapa umur kau sebenarnya, sayang?"

MANGSA BERITAHU DIA BERUMUR 15 TAHUN

Mangsa menjawab bahawa dia berusia 15 tahun, yang mana Fadhillah menjawab "manis tu" dan dia "menyukainya".

Fadhillah meminta mangsa memberinya peluang "untuk menjaganya". Dia berkata akan melakukan perbuatan seks di dalam kereta "setiap kali mereka berjumpa" dan memberi gambaran lucah tentang apa yang akan dia lakukan kepada mangsa dengan ganjaran S$100.

Dia juga bertanya kepada mangsa jika beliaubudak itu masih "seorang anak dara".

Pada 2 Ogos 2020, kakak mangsa ternampak seorang "lelaki berumur" sedang menghantar mesej kepada adiknya dan bapa mereka tidak lama kemudian mendapat tahu tentang apa yang sedang berlaku.

Keluarga mangsa mengambil petikan perbualan itu, memadamkan aplikasi itu lalu melaporkannya kepada polis.

Apabila Fadhillah menyedari bahawa mangsa tidak menjawab mesejnya, dia memadamkan perbualan mereka di aplikasi itu. Polis kemudian menjejakinya.

Dia mengaku bersalah atas kesalahannya itu namun mendakwa tidak mempunyai hasrat untuk berjumpa dengan mangsa bagi sebarang khidmat seksual melibatkan bayaran.

Pihak pendakwa memohon bagi hukuman denda yang berat dikenakan terhadapnya, sambil berkata bahawa hukuman itu diperkenalkan sebagai respons undang-undang "di mana seorang pesalah mengadakan perbualan seksual dengan mangsa, tanpa niat untuk berjumpa atau percubaan berjumpa dengan mangsa".

Fadhillah, yang tidak diwakili peguam berkata dia sangat, sangat menyesali perbuatannya dan dia bersumpah "atas kubur ibunya" tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

Setelah dimaklumkan akan dikenakan denda S$8,000, dia berkata pendapatannya sebagai seorang pemandu teksi tidak banyak, terutama sekali semasa pandemik COVID-19. Dia menambah akan menghadapi kesukaran untuk membayar denda itu.

Hakim berhujah keputusan sudah pun dibuat. Menjawab, Fadhillah berkata dia dan isterinya akan berusaha untuk mendapatkan wang bagi membayar denda itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita