Pemandu teksi dibawa ke hospital susuli nahas di Toa Payoh
Seorang pemandu teksi dibawa ke hospital menyusuli satu kemalangan di Toa Payoh pada lewat malam semalam (26 Nov).

Sebuah teksi tersadai di longkang selepas bertembung sebuah bas di Lorong 6 Toa Payoh. (Gambar: Tan Wei Sien)
SINGAPURA: Seorang pemandu teksi dibawa ke hospital menyusuli satu kemalangan di Toa Payoh pada lewat malam semalam (26 Nov).
Gambar-gambar yang dikirimkan ke Mediacorp menunjukkan sebuah teksi Trans-Cab di dalam longkang dengan sebuah bas SBS Transit juga dilihat berada dekat dengan teksi tersebut.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan sekitar pukul 11.15 malam tentang satu nahas di simpang antara Lorong 6 Toa Payoh dengan Toa Payoh East.
Polis, yang turut dimaklumkan tentang kemalangan tersebut, menyatakan nahas melibatkan sebuah teksi dan sebuah bas.
Pemandu teksi berumur 70 tahun itu berada dalam keadaan sedar apabila dibawa ke Hospital Tan Tock Seng, menurut polis, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.
“Malam semalam, sebuah bas yang tidak membawa penumpang sedang bergerak terus di Lorong 6 Toa Payoh apabila sebuah teksi tiba-tiba muncul dari susur jalan, mengakibatkan satu pertembungan," kata Cik Tammy Tan, Naib Presiden Kanan Perhubungan Korporat SBS Transit, dalam respons kepada pertanyaan CNA.
"Pemandu teksi itu dibawa ke hospital dalam keadaan sedar. Kami mendoakan agar beliau cepat sembuh."
CNA sudahpun menghubungi Trans-Cab bagi mendapatkan lebih banyak maklumat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.