Pemandu teksi ComfortDelGro tidak perlu bayar sewa sebulan lagi
Para pemandu teksi ComfortDelGro akan menerima pengecualian sewa teksi selama sebulan lagi, sejajar dengan lanjutan tempoh "pemutus rantaian" jangkitan COVID-19 oleh Pemerintah.
Gambar fail pemandu teksi yang sedang menanti penumpang. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Para pemandu teksi ComfortDelGro akan menerima pengecualian sewa teksi selama sebulan lagi, sejajar dengan lanjutan tempoh "pemutus rantaian" jangkitan COVID-19 oleh Pemerintah.
Pengecualian sewa itu akan dilanjutkan hingga 1 Jun, menurut syarikat tersebut dalam satu kenyataan media pada Rabu (22 Apr).
ComfortDelGro sebelum ini mengumumkan para pemandu tidak perlu membayar sewa selama sebulan, selepas Pemerintah mengumumkan pada 3 April pelaksanaan langkah-langkah seperti penutupan sekolah dan kebanyakan tempat kerja.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Selasa, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata tempoh pemutus rantaian, yang awalnya dijadual berakhir pada 4 Mei, kini dilanjutkan selama empat minggu lagi hingga 1 Jun.
"Dengan tempoh pemutus rantaian dilanjutkan sebulan lagi dan langkah-langkah pemutus jangkitan yang diperketatkan lagi, para pemandu teksi kami akan terus terjejas dan sukar untuk mencari nafkah," kata Ketua Pegawai Eksekutif ComfortDelGro Taxi, Ang Wei Neng.
"Pada masa-masa seperti ini, kita harus bersatu dan menghadapi cabaran bersama-sama."
Pengecualian sewa yang dilanjutkan itu dijangka akan menelan belanja lagi S$17 juta bagi syarikat itu, menurut ComfortDelGro, menjadikan jumlah pakej pelepasan yang diberikan kepada para pemandu teksi kepada S$116 juta.
Pengendali teksi itu menambah bahawa lebih 680 pemandu teksi mengambil pekerjaan lain, dengan hampir 110 daripadanya menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk kedai-kedai makanan seperti Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut, Cedele, dan juga wadah penghantaran foodpanda.
Para pemandu teksi ComfortDelGro juga dilatih untuk menjalankan tugas penghantaran barang runcit bersama RedMart, di bawah kerjasama yang diumumkan awal bulan ini.
Ini menyusuli lonjakan permintaan bagi perkhidmatan penghantaran, sedang orang ramai diminta untuk duduk dalam rumah seberapa mungkin bagi membantu membendung penyebaran COVID-19.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.