Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemandu S'pura, 2 penumpang didakwa rempuh laluan Pusat Pemeriksaan Tuas

Seorang pemandu dan dua penumpang didakwa di mahkamah hari ini (9 Apr) setelah mereka dipercayai merempuh laluan pelepasan automatik motosikal di Pusat Pemeriksaan Tuas, menyebabkan kecederaan terhadap seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu S'pura, 2 penumpang didakwa rempuh laluan Pusat Pemeriksaan Tuas

Gambar: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA)

SINGAPURA: Seorang pemandu dan dua penumpang didakwa di mahkamah hari ini (9 Apr) setelah mereka dipercayai merempuh laluan pelepasan automatik motosikal di Pusat Pemeriksaan Tuas, menyebabkan kecederaan terhadap seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Pemandu rakyat Singapura itu - yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Teo Thiam Leng, 46 tahun - diburu oleh polis dan Biro Narkotik Pusat (CNB), menurut ICA dalam kenyataan media sebelum ini.

Pada Sabtu (9 Apr), dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Teo dipercayai bersubahat dengan lagi dua individu untuk mengimport masuk methamphetamine ke Singapura pada 2016, dan juga dipercayai bersubahat dengan seorang individu rakyat Singapura untuk menyeludup dadah itu merentasi Koswe pada tahun tersebut.

Dia kini berdepan satu tuduhan setiap satu bagi kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan di bawah Akta Trafik Jalan Raya dan bersubahat untuk mengimport dadah terkawal di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Dua penumpang keretanya - warga China Chen Song Qing, 35 tahun dan warga Vietnam Ho Thi My Nhung, 31 tahun, masing-masing didakwa atas kesalahan pencerobohan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Teo sedang memandu kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia ketika cuba masuk ke Singapura pada awal pagi Jumaat.

Dia dipercayai mengelak pelepasan di kemudahan imigresen Malaysia, Kompleks Sultan Abu Bakar kira-kira pukul 2.15 pagi lalu memecut ke arah Pusat Pemeriksaan Tuas sambil dikejar oleh polis trafik Malaysia, menurut ICA dalam kenyataannya.

Kereta itu dikesan oleh seorang pegawai polis tambahan yang ditempatkan di pintu masuk Pusat Pemeriksaan Tuas dan beliau segera mengaktifkan semboyan yang mengepung kawasan di sekitar pusat pemeriksaan tersebutt.

"Bagi mengelak hadangan itu, pemandu berkenaan cuba memaksa masuk ke Singapura menerusi laluan pelepasan automatik motosikal.

"Namun laluannya terlalu sempit dan kenderaan itu remuk setelah ia merempuh kaunter," menurut ICA.

Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa Teo dipercayai mengundurkan keretanya lalu melanggar pegawai ICA Nur Asri Abdul Rahman, yang mengalami luka pada buku lali kanannya.

Chen dan Ho kemudian cuba melarikan diri namun dihalang oleh para pegawai polis tambahan yang memberi respons kepada kejadian itu. Ho mengalami kecederaan setelah terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Pasangan itu dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan ditahan. Teo kemudian didapati membawa sebuah pasport Singapura yang dipercayai sudah diusik.

Ketiga-tiganya ditahan oleh pegawai ICA kerana gagal berhenti bagi pelepasan imigresen sewaktu ketibaan di pusat pemeriksaan serta bagi kesalahan lain. Ujian air kencing mendedahkan bahawa Teo diuji positif bagi dadah.

KOMPLOT PENYELUDUPAN DADAH

Pada Sabtu, Teo didakwa bersubahat dengan seorang individu bernama Er Lin Cheng dan seorang individu tidak diketahui di Singapura untuk mengimport sekurang-kurangnya 33.34 gram methamphetamine ke Singapura pada 2016.

Sebagai sebahagian daripada komplot itu, Teo dipercayai bersubahat dengan seorang lelaki warga Singapura, yang dikenal pasti sebagai Irwan, untuk mengimport sekurang-kurangnya 49.54 gram methamphetamine pada petang 20 Jun tahun tersebut di Pusat Pemeriksaan Woodlands sekitar pukul 10.00 malam.

Pada Sabtu, ketiga-tiganya hadir di mahkamah menerusi persidangan video. Chen kini ditahan di Hospital Besar Ng Teng Fong.

Hakim Daerah Carolyn Woo meluluskan permohonan polis pendakwa supaya mereka ditahan reman di ibu pejabat Divisyen Polis Woodlands selama seminggu bagi siasatan lanjut, dengan pihak pendakwa berkata mereka akan dibawa semula ke tempat kejadian.

Mereka akan kembali ke mahkamah pada 14 April.

Mereka yang sabit kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan mengimport dadah terkawal, Teo boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya 10 tahun dan sehingga 30 tahun dan dikenakan sebatan rotan sekurang-kurangnya 10 kali.

Mereka sabit kesalahan menceroboh boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan