Skip to main content

Singapura

Pemandu SG yang ada saman trafik di Malaysia berdepan tindakan

Anggaran Waktu Membaca:
Pemandu SG yang ada saman trafik di Malaysia berdepan tindakan

(Gambar fail: CNA/Ahmad Zamzahuri Abas))

SINGAPURA: Mulai 1 Januari 2025, pemandu Singapura yang mempunyai denda trafik yang belum dibayar di Malaysia akan berdepan tindakan penguatkuasaan, menurut Jabatan Penangkutan Jalan Raya Malaysia (JPJ).

Antara 1990 dengan Jun 2024, rakyat Singapura sudah mengumpul lebih 35,000 saman yang tidak dibayar, berjumlah RM3.5 juta (S$1 juta), menurut polis Malaysia, lapor The Straits Times.

Walaupun tiada tindakan diambil terhadap pemandu setakat ini, mereka digesa menyelesaikan denda mereka ketika Malaysia bersiap sedia untuk menguatkuasakan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP), yang membolehkan pihak berkuasa mengesan setiap kesalahan lalu lintas kereta.

Berikut apa yang anda perlu tahu jika merancang ingin merentas sempadan:

1. Sediakan VEP anda

Mulai 1 Oktober, semua kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia dari Singapura melalui darat akan dikehendaki memiliki VEP, yang bertindak seperti "kad pengenalan" untuk kenderaan ini di Malaysia.

Syarat-syarat VEP akan dikenakan kepada pemandu yang memasuki dua pusat pemeriksaan Johor - di kompleks Sultan Iskandar melalui Koswe dan kompleks Sultan Abu Bakar melalui Linkedua.

Pemandu tanpa VEP yang sah berisiko tidak dibenarkan masuk ke Johor, atau didenda sehingga RM2,000 (S$600), menurut laporan The Straits Times.

Anda boleh mengetahui cara memohon VEP dan memasang tag RFID pada kereta anda menerusi panduan ini.

Mereka yang berdepan masalah dengan permohonan yang dibuat juga boleh mendapatkan bantuan di kaunter maklumat VEP baharu di 186 Woodlands Industrial Park E5, yang dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 5.00 petang pada hari biasa.

2. Semak dan selesaikan denda trafik anda

Jika anda tidak tahu sama ada anda mempunyai sebarang saman trafik tertunggak di Malaysia, anda boleh pergi ke MyBayar PDRM, laman yang diselenggara oleh Polis Diraja Malaysia, atau laman MyEG, yang menempatkan pautan ke JPJ.

Anda boleh membuat akaun di laman itu dengan nombor pasport anda, ikut arahan untuk menyemak sebarang saman tertunggak dan membuat pembayaran online.

3. Apa yang berlaku jika anda tidak membayar denda?

Menjawab pertanyaan The Straits Times, jurucakap JPJ berkata pada dasarnya, selepas sistem VEP dikuatkuasakan mulai 1 Oktober, semua pemandu kenderaan asing harus menyelesaikan denda mereka sebelum meninggalkan Malaysia.

Bagaimanapun, penguatkuasaan akan dilakukan secara berperingkat. Antara 1 Oktober dengan 31 Disember, kenderaan asing dengan denda tertunggak masih dibenarkan masuk dan keluar dari Malaysia. Pihak berkuasa akan memberi tumpuan kepada kerja "mendidik" para pemandu dalam fasa ini.

Namun, mulai 1 Januari, ia akan dikuat kuasa sepenuhnya, kata jurucakap itu, tanpa mengulas lanjut.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita